Steven Sim hadiri mesyuarat Menteri Pembangunan Sumber Manusia APEC
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Menteri Sumber Manusia Steven Sim, mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Sumber Manusia APEC ke-7 (HRDMM) di Korea Selatan.
Kementerian itu menerusi satu kenyataan berkata, Mesyuarat ini merupakan penganjuran pertama selepas 11 tahun dengan edisi terakhir berlangsung pada 2014 di Vietnam.
Ia diadakan bersempena Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bertemakan "Kemampanan Pasaran Buruh dan Pekerjaan Masa Hadapan".
"Dua topik utama yang menjadi tumpuan perbincangan kali ini ialah 'Pasaran Buruh yang Fleksibel dan Dinamik' serta 'Cabaran Pekerjaan Masa Hadapan dan Dasar Pasaran Buruh Aktif'.
"Mesyuarat Menteri-Menteri dijangka menghasilkan satu Kenyataan Bersama Menteri yang merangkumi topik penting seperti latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyertaan wanita dalam tenaga kerja, pemerkasaan golongan kurang upaya, aspek keselamatan serta kesihatan pekerja dan lain-lain," kata kenyataan itu lagi.
Kementerian itu turut menyatakan, penyertaan delegasi Malaysia dalam mesyuarat kali ini dianggap sebagai penting.
Ia bagi menzahirkan komitmen berterusan negara dalam menggalakkan kerjasama serta mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan ekonomi APEC yang terlibat dalam sektor sumber manusia, tenaga kerja dan keselamatan sosial.
"Sim turut dijadual mengadakan dua pertemuan dengan Menteri Buruh Thailand Phipat Ratchakitprakarn dan Setiausaha Buruh dan Kebajikan Hong Kong Chris Sun pada lawatan tersebut.
"Pertemuan bagi meneroka peluang kerjasama strategik dua hala dalam bidang perburuhan dan pembangunan modal insan," tambah kementerian itu.