Status pelarian UNHCR tidak kebal undang undang - KDN
- Suara Keadilan

- Jun 14
- 2 min read

Isu pelarian yang menjadi perhatian masyarakat ketika ini perlu dilihat secara menyeluruh berasaskan fakta, realiti semasa dan tanggungjawab kerajaan dalam menjaga keselamatan negara.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kehadiran pelarian termasuk pemegang kad UNHCR serta individu yang mendakwa diri sebagai pelarian Rohingya atau dari negara lain, bukanlah fenomena baharu sebaliknya isu legasi yang telah berlarutan selama beberapa dekad merentasi pelbagai pentadbiran.
Menurut kementerian itu, pengurusan pelarian kini menjadi semakin kompleks berikutan perubahan landskap global serta cabaran penempatan semula ke negara ketiga, sekali gus memerlukan pendekatan lebih teratur dan berasaskan data.
"Kebelakangan ini, isu pelarian kembali menjadi perhatian dan mencetuskan pelbagai pandangan dalam kalangan masyarakat. KDN memahami kebimbangan rakyat dan mengiktiraf bahawa isu ini perlu dijelaskan berdasarkan fakta, realiti semasa dan tanggungjawab kerajaan dalam menjaga keselamatan negara," kata kenyataan itu.
KDN menegaskan bahawa selama ini kerajaan berdepan cabaran apabila data berkaitan pelarian tidak berada sepenuhnya dalam sistem, walaupun tanggungjawab keselamatan dan ketenteraman awam kekal di bawah bidang kuasa Malaysia.
Sehubungan itu Kerajaan MADANI, katanya, mengambil pendekatan lebih berstruktur dan bertanggungjawab bagi menangani isu berkenaan tanpa menggalakkan kemasukan pelarian baharu atau memberikan status tambahan kepada mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menegaskan pengurusan pelarian tidak boleh dilihat secara simplistik atau berasaskan emosi semata-mata dan kerajaan sedang mengumpul data mengenai pelarian di negara ini.
"Penting untuk membezakan antara pelarian dan pendatang asing tanpa izin. Pendatang asing tanpa izin memasuki atau berada di negara ini tanpa dokumen yang sah atau melanggar syarat imigresen yang ditetapkan.
"Bagi kategori ini, Malaysia mempunyai kerangka perundangan yang jelas melalui Akta Imigresen 1959/63 untuk tujuan penguatkuasaan dan tindakan yang sewajarnya.
"Pelarian pula berada dalam kategori yang berbeza kerana mereka meninggalkan negara asal akibat konflik, peperangan, penindasan atau ancaman terhadap keselamatan dan kehidupan mereka," katanya.
Tambah kenyataan itu, KDN memberi perhatian terhadap kebimbangan rakyat khususnya melibatkan komuniti Rohingya, termasuk dalam isu keselamatan, kesihatan awam, pendidikan dan integrasi sosial.
Bagaimanapun, kementerian itu menegaskan bahawa status pelarian tidak memberikan pelarian berstatus UNHCR kebal daripada undang-undang negara.
"Status pelarian tidak memberikan kekebalan daripada undang-undang Malaysia. Mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah, mengancam keselamatan awam atau melanggar undang-undang negara tetap tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan, pendakwaan dan proses perundangan yang berkuat kuasa," katanya.
Sebagai langkah memperkukuh pengurusan, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia sedang melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selaras Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023).
Program itu bertujuan mengumpul data biometrik dan maklumat identiti yang lebih tepat bagi membantu kerajaan merangka dasar lebih berasaskan fakta serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
KDN menegaskan bahawa pelaksanaan DPP tidak memberi kewarganegaraan atau status pemastautin tetap kepada pelarian, sebaliknya kekal tertakluk kepada mekanisme sedia ada termasuk penempatan semula ke negara ketiga.
Dalam aspek ekonomi, kerajaan juga mempertimbangkan akses pekerjaan terhad kepada pelarian yang memenuhi syarat tertentu, khususnya dalam sektor berintensifkan buruh seperti perladangan, pertanian dan pembinaan.
Bagaimanapun, kata KDN, langkah itu bukan untuk menambah jumlah pekerja asing, tetapi mengurangkan kebergantungan kepada kemasukan tenaga kerja baharu serta memastikan keperluan sektor kritikal dipenuhi.
KDN turut menegaskan bahawa keselamatan negara tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan, dan pengurusan pelarian akan terus dilaksanakan secara seimbang.
"Pengurusan pelarian bukan semata-mata isu kemanusiaan dan bukan semata-mata isu imigresen. Ia melibatkan keselamatan negara, penguatkuasaan undang-undang, pasaran pekerjaan, kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat," kata kenyataan itu lagi.




Comments