SST: Wanita KEADILAN sokong reformasi ekonomi mampan
- Suara Keadilan
- Jul 3
- 2 min read
Updated: Jul 4

Oleh: Azuan Ab Rahman
Pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) perlu dilihat sebagai sebahagian langkah penting pembaharuan struktur ekonomi negara ke arah masa depan yang lebih mampan dan adil.
Exco Wanita KEADILAN Pusat, Siti Norffinie Yassin (gambar) berkata, dasar fiskal yang lebih tersusun dan telus akan menjana hasil negara secara lebih efisien, seterusnya dipulangkan kembali kepada rakyat dalam bentuk pelbagai manfaat bersasar.
"Dengan hasil negara yang diperkukuh, kerajaan berpeluang menambah baik pelbagai inisiatif termasuk subsidi barangan keperluan, pendidikan, penjagaan kesihatan serta pembangunan ekonomi komuniti.
"Inisiatif bersasar untuk golongan rentan termasuk wanita dan ibu tunggal juga akan terus dapat diperkuat," jelasnya dalam kenyataan.
Perluasan skop SST yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2025 adalah langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Di bawah senarai peluasan itu, produk seperti king crab, ikan salmon, ikan kod, cendawan truffle, strawberi import, essential oil, sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan lima peratus.
Manakala sisa skrap tungsten, basikal lumba serta lukisan tangan antik dikenakan pada kadar 10 peratus.
Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bahawa langkah ini tidak akan membebankan rakyat.
Sehubungan itu, barangan asas harian seperti beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran, telur serta ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin dalam bentuk segar, sejuk dingin atau sejuk beku kekal dikecualikan daripada cukai.
Dalam pada itu, Siti Norffinie yang juga Pengarah Strategi Wanita KEADILAN Negeri Sabah menyelar tindakan pihak tertentu yang cuba mengelirukan rakyat mengenai peluasan SST dengan menyebarkan naratif negatif serta ketakutan tidak berasas yang hanya membantutkan usaha memperkukuh ekonomi negara.
"Kita sepatutnya fokus bagaimana hasil negara dapat dimanfaatkan untuk memperkasa wanita dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, bukan menakut-nakutkan rakyat dengan gambaran pesimis.
"Apabila kebenaran diketepikan demi mempertahankan naratif sempit, akhirnya hanya memecahbelahkan rakyat," tegasnya.
Dalam kenyataan sama beliau menegaskan komitmen Wanita KEADILAN untuk terus mendukung dasar-dasar kerajaan yang menjamin keadilan sosial dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Comments