SST: Utamakan perniagaan kecil, sederhana dalam industri kecantikan
- Suara Keadilan
- Jun 19
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan dicadangkan agar ambang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluaskan bagi industri kecantikan diselaraskan kepada RM1.5 juta setahun, sejajar dengan ambang yang ditetapkan dalam sektor makanan dan minuman, bagi memastikan dasar cukai itu lebih adil dan seimbang.
Cadangan itu disuarakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Lai Chen Heng yang menyifatkan langkah tersebut akan membolehkan cukai disasarkan kepada perkhidmatan berunsur mewah dan penggunaan tinggi tanpa menjejaskan sebilangan besar pengusaha kecil dan sederhana dalam bidang kecantikan dan dandanan.
"Kita harus menggalakkan para pengusaha yang mematuhi undang-undang untuk terus maju dan berinovasi, termasuk beralih kepada sistem pengurusan digital, pada masa sama, dasar yang terlalu agresif boleh membawa kesan sebaliknya.
"Dalam keadaan ekonomi global yang perlahan dan permintaan domestik yang masih belum stabil, mengekalkan kestabilan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bermakna mengekalkan pekerjaan dan ekonomi asas masyarakat.
"Saya yakin kerajaan Malaysia MADANI adalah kerajaan yang mendengar dan menghargai maklum balas rakyat. Sistem percukaian perlu melalui pembaharuan, dan pada masa yang sama dapat megimbangkan perlaksanaannya dari aspek masa, ambang dan sasaran," katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, sejak kebelakangan ini, beliau menerima banyak maklum balas daripada pengusaha PKS kebelakangan ini berhubung peluasan skop SST khususnya terhadap barangan dan perkhidmatan yang bukan keperluan asas seperti industri kecantikan dan dandanan.
"Saya memahami keperluan kerajaan untuk terus menambah baik struktur percukaian negara. Namun begitu, kita tidak boleh mengetepikan realiti kesukaran yang sedang dihadapi oleh PKS pada masa ini.
"Walaupun telah ditetapkan ambang tertentu, langkah ini tetap menimbulkan kegusaran dalam kalangan pemain industri yang bimbang beban cukai tambahan akan meningkatkan kos operasi, mengancam kelangsungan perniagaan dan menjejaskan
kepercayaan pelanggan.
"Saya mendengar keluhan daripada ramai pengusaha industri kecantikan dan dandanan, yang kebanyakannya adalah wanita, pemilik perniagaan kecil, malah ada yang bekerja sendiri.
"Mereka telah sedia tertekan akibat kenaikan kos bahan mentah, kos buruh, dan keperluan beralih kepada sistem e-invois. Kini, ditambah pula dengan cukai perkhidmatan, mereka mungkin langsung tiada ruang untuk bernafas," katanya lagi.
Bagaimanapun dalam jangka masa panjang, Chen Heng menzahirkan rasa setuju bahawa peluasan asas cukai dan peningkatan ketelusan sistem percukaian adalah langkah reformasi penting ke arah tadbir urus yang baik dan kewangan negara yang mampan.
Namun ujarnya, beliau percaya bahawa pelaksanaan dasar harus berpaksikan prinsip ‘ketepatan sasaran’ dan ‘kemampuan tanggungan’.
"SST tidak sepatutnya hanya munasabah dari segi kerangka dasar, tetapi juga perlu menepati realiti di lapangan," katanya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju.
Comments