SST: Ops Kesan 4.0 dilancar, buru peniaga ambil kesempatan
- Suara Keadilan
- Jul 1
- 2 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Kesan 4.0 di seluruh negara bermula hari ini.
Operasi menyeluruh di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi memantau sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan susulan semakan kadar serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
"Ops Kesan 4.0 untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
"Ini meliputi barangan yang tidak terbabit dengan semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas," kata Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) dipetik.
Beliau memberi amaran tindakan akan diambil terhadap peniaga yang menaikkan harga tanpa mengambil kira syarat ditetapkan kerajaan bagi peluasan skop cukai tersebut.
"Peniaga individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda hingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan," tegasnya.
Peluasan skop SST secara bersasar berkuat kuasa hari ini, bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Minggu lalu, Kementerian Kewangan memberi jaminan barangan asas keperluan harian seperti beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur tidak akan dikenakan cukai.
Barangan lain yang turut dikecualikan ialah ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin dalam bentuk segar, sejuk dingin atau sejuk beku juga terus dikecualikan.
Kerajaan turut mengumumkan pengecualian cukai ke atas buah-buahan import terpilih, menaikkan ambang jualan tahunan bagi meringankan beban perniagaan kecil serta tidak memperluas Cukai Perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan.
Sementara itu Armizan berkata, KPDN menggerakkan tiga pendekatan utama untuk memastikan keberkesanan Ops Kesan 4.0, iaitu pengumpulan data harga menerusi kutipan harian Pegawai Pemantau Harga (PPH) sebagai asas perbandingan sebelum dan selepas SST.
Pihaknya juga akan memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan serta menggalakkan penyertaan awam melalui gerakan Kita Gempur .
"Seterusnya pendekatan yang ketiga kita akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan caj, harga dan bekalan," jelasnya.
Comments