Srikandi KEADILAN sahut cabaran sebagai waris perjuangan
- Suara Keadilan
- Jul 15, 2022
- 2 min read

Anak muda merupakan waris perjuangan generasi hari ini sebagai pemimpin era akan datang.
Lantaran itu pembahas dari Srikandi KEAIDLAN menyahut seruan Ketua Wanita KEADILAN yang mahu anak muda menjadi generasi pewaris perjuangan parti pada tahun tahun mendatang.
Pembahas dari Melaka, Atirah Norlisa Rusli berkata, Srikandi hari ini perlu meningkatkan ilmu dan kebijaksanaan mereka dalam politik bagi menggalas cabaran masa hadapan.
"Dalam ucapan dasar Ketua Wanita KEADILAN beliau menyebut pentingnya anak muda dalam politik. Beliau juga menyebut kalau nak tahu masa hadapan negara lihatlah anak muda.
"Oleh itu kita tidak boleh melengahkan penglibatan dan kematangan politik di kalangan anak muda. Bukan sahaja dalam KEADILAN tetapi juga di peringkat negara.
"Saya ingin menyentuh mengenai matlamat pembangunan mapan 2030 dari Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu yang disebut SDG.
"Antara matlamat SDG adalah kesaksamaan gender yang mana wanita dan lelaki perlu diberi peluang saksama dalam politik.
"Malaysia hakikatnya masih jauh sasaran 30% wanita pembuat keputusan, buktinya tidak boleh disangkal. Dalam parti pun 30% penyertaan wanita masih jauh untuk direalisasikan. Bagaimanapun dalam pemerkasaan politik wanita muda, saya lihat sokongan padu telah diberikan dalam Srikandi KEADILAN," katanya.
Justeru beliau bersyukur kerana Wanita KEADILAN menampung gerakan Srikandi untuk menimba pengalaman politik dan kepimpinan dari anggota lebih senior.
Tidak mustahil, katanya, anak muda yang dididik hari ini akan menggalas tugas sebagai pemimpin utama parti sedekad ke hadapan.
"Saya amat bersyukur adanya Srikandi KEADILAN dalam wadah wanita muda untuk menimba pengalaman dalam politik dan kepimpinan.
"Tidak mustahil kami wanita muda mampu untuk menjadi pewaris perjuangan satu hari nanti kerana telah dididik untuk menyelesaikan maslaah di peringkat akar umbi
"Ketika, bencana banjir pada tahun lalu kami segera membuat kutipan derma, masak bersama, belajar gunakan water jet untuk mencuci lumpur dan membuat kandungan media sosial," katanya.
Atira juga gembira kerana pemimpin Srikandi mula diterima sebagai calon dalam beberapa siri pilihan raya negeri yang menunjukkan kualiti yang ada pada gerakan tersebut
"Sebagai parti politik pilihan raya adalah core business kita. Serikandi KEADILAN menunjukkan komitmen yang tinggi walaupun ramai di kalangan kami kurang pengalaman tetapi tidak menjadi penghalang kami untuk membantu.
"Selebihnya Srikandi diberi penghormatan sebagai calon pilihan raya, seperti Ketua Srikandi Melaka dan Ketua Srikandi Sarawak," katanya.
Oleh itu, beliau mahu lebih banyak bengkel dan latihan diberikan kepada Srikandi untuk menyerlahkan lagi bakat mereka.
コメント