
Srikandi KEADILAN Malaysia baru baru ini menganjurkan pertandingan bola jaring amatur darmawisata di IWK Eco Park di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Penerangan Srikandi KEADILAN, Fathin Amelina Fazlie, pertandingan yang melibatkan 300 wanita muda itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal nasir.
"Pertandingan ini menyaksikan 10 kumpulan berjaya meraih tempat dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan medal.
"Selain itu, Anugerah Pemain Terbaik, Penjaring Terbaik, Pertahanan Terbaik serta 'Fairplay' turut diberikan kepada peserta terlibat," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Fathin, cabutan bertuah turut diadakan untuk peserta dan urus setia pertandingan.
Pemenang cabutan bertuah, katanya, telah membawa pulang bola eksklusif yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden KEADILAN, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Strategi KEADILAN, Akmal Nasir.
"Pertandingan ini merupakan inisiatif pembudayaan sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia.
"Sukan adalah instrumen yang penting untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama," katanya lagi.
Selain itu, program tersebut juga bertujuan untuk menarik minat golongan wanita muda menjadi sebahagian daripada kumpulan masyarakat yang cakna dan terlibat secara langsung dalam arena politik negara.
Turut bersama dalam program tersebut ialah Ketua Srikandi Pusat, Anetha Pillai dan
Pengarah Program merangkap Ketua Srikandi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Fatin Izzaty Muhammad.
Comments