
Penggabungan di antara UEM Sunrise Berhad, anak syarikat Khazanal Nasional Berhad dan Eco World Group Berhad dilihat bermasalah berdasarkan prestasi kewangan semasa Eco World.
Sehubungan itu, NGO Otai Reformis 1998 pagi tadi membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut agar penggabungan mencurigakan yang melibatkan dana rakyat itu disiasat.
"Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan berita cadangan penggabungan 2 syarikat gergasi hartanah, iaitu UEM Sunrise dan Eco World
"Seperti yang diketahui Khazanah Nasional menguasai 66% kepentingan saham UEM Sunrise.
"Banyak pihak telah menyatakan bantahan secara terbuka kerana penggabungan ini melibatkan syarikat pelaburan negara (Khazanah) dan mengapa sekarang ianya dilakukan?
"Siapakah yang untung dalam penggabungan ini atau ia merupakan satu 'bailout' melibatkan wang rakyat untuk menyelamatkan konglomerat swasta," kata kenyataan Otai Reformis yang dibacakan setiausahanya, Razak Ismail.
Menurut Otai Reformis lagi, penggabungan yang kelihatan merugikan rakyat itu tidak wajar diteruskan ketika negara kekurangan peruntukan menghadapi pandemik Covid 19 yang semakin parah.
"Seharusnya pada waktu sekarang yang wajar diselamatkan adalah rakyat terbanyak, bukannya sebilangan kecil taikun yang kaya raya
"Perdana Menteri selaku pengerusi Khazanah Nasional harus bertanggungjawab dan memberi penjelasan segera
"Kami menggesa pihak SPRM menyiasat penggabungan ini demi memastikan kepentingan negara dan wang rakyat terpelihara," kata kenyataan itu lagi.
Laporan dibuat di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor.
Comments