SPRM perlu siasat dana pilihan raya umum PN - Mahfuz
- Suara Keadilan

- Sep 20, 2025
- 1 min read

Kontroversi pendedahan dana pilihanraya oleh komponen Perikatan Nasional (PN) usai Muktamar Pas ke 71 mewajarkan satu siasatan dilakukan ke atas gabungan PN.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sumber dan aliran dana yang didakwa membiayai jentera PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 2022 lalu.
Dakwa Mahfuz, pendedahan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, bahawa keseluruhan kos PRU15 PN ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu serta sebahagian dana disalurkan kepada Pas menimbulkan persoalan serius.
"Dari manakah Bersatu memperoleh sumber kewangan yang begitu besar?
"Siapa di kalangan pimpinan Pas yang menerima dana tersebut? Mengapa ia tidak dilaporkan atau dibentangkan secara telus dalam mesyuarat Pas?
"Adakah berlaku penyelewengan atau pecah amanah?" tanyanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata rakyat pada waktu ini mahu tahu dana yang dinyatakan itu datangnya dari mana, dan persolan kedua, dana tersebut masuk ke akaun siapa.
Sehubungan itu, Mahfuz menegaskan bahawa SPRM perlu membuka kertas siasatan segera bagi memastikan ketelusan dan menjawab persoalan rakyat mengenai dakwaan tersebut.
"Pas tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik slogan kononnya mereka bersih dan telus. Rakyat berhak tahu siapa sebenarnya yang menerima dana itu.
"Bersatu pula wajib mendedahkan punca dana yang membiayai keseluruhan jentera PN," katanya.
Beliau menambah, rakyat tidak boleh terus diperbodohkan dengan retorik politik, sebaliknya menuntut penjelasan jelas mengenai isu dana berkenaan.









Comments