SPR tetapkan PRN Sabah 29 Nov, penamaan calon 15 Nov
- Suara Keadilan
- 9 minutes ago
- 2 min read

Hampir 1.8 juta rakyat Sabah bakal membuat keputusan menentukan kerajaan baharu melalui Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 (PRN) pada 29 November ini seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Suruhanjaya itu memaklumkan penamaan calon diadakan pada 15 November ini dengan pengundian awal bakal diadakan pada 25 November.
Ketetapan itu sekali gus memberikan tempoh kempen berlangsung selama 14 hari bagi semua calon dan parti yang bertanding.
"Sebanyak 1,784,843 pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab masing-masing (pada PRN Sabah ke-17)," kata Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRN Sabah ke-17 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.
Ramlan berkata writ pilihanraya pula dikeluarkan hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat khas SPR yang bermula jam 10 pagi berhubung pelaksanaan PRN17 Sabah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 6 Oktober lalu.
SPR menerima makluman rasmi berhubung pembubaran itu daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya sehari selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN setelah diperkenankan Yang Dipertuan Negeri Tan Sri Musa Aman.
PRN-17 Sabah menyaksikan sebanyak 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.
Seramai 1,784,843 pemilih layak mengundi berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025, kata Ramlan.
Beliau berkata seramai 1,760,417 adalah pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, manakala 12,729 terdiri daripada anggota polis serta pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018, yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.
"Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menggalakkan bakal calon membuat pengisian serta semakan awal borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum Hari Penamaan Calon, termasuk membuat pembayaran deposit lebih awal.
"Namun kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan telah disemak tetap perlu dikemukakan oleh calon, pencadang atau penyokong pada Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) yang ditetapkan SPR," katanya.
SPR turut membuka peluang kepada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi mengikuti perjalanan PRN Sabah ke-17, bermula dari hari penamaan calon hingga keputusan diumumkan.
"Permohonan boleh dibuat melalui portal SPR mulai 9 Oktober 2025 dan ditutup pada 27 Oktober 2025.
"Seperti pilihan raya sebelum ini, SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses pilihan raya menerusi live streaming di Facebook SPR bagi pusat atau saluran mengundi terpilih," katanya.