top of page

Speaker tiada kuasa hadkan bilangan MP hadir sidang Dewan Rakyat



Ahli Parlimen Selayang, William Leong menempelak tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengehadkan bilangan Ahli Parlimen kepada 80 orang ketika perbahasan Belanjawan 2021.


Malah, beliau bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang meminta speaker menarik balik ketetapan mengehadkan kehadiran tersebut.


"Yang di-Pertua dalam balasannya membidas bahawa bukan semua 222 Ahli Parlimen menghadiri persidangan setiap hari. Selalunya ia terdapat 100 hingga 120 dan bukan semua berada di dalam Dewan dari 10.00 pagi hingga 5.30 petang dan ada masanya tidak cukup korum.


"Kenyataan Yang di-Pertua tidak harus disalahtafsir sebagai Yang di-Pertua mempunyai kuasa untuk mengehadkan bilangan Ahli Parlimen untuk memasuki Dewan Parlimen.


"Fungsi dan peranan utama jawatan sebagai Yang di-Pertua adalah bertindak sebagai Pengerusi yang mengetuakan mesyuarat dalam perbahasan parlimen menurut Peraturan Mesyuarat dan mentafsirkan Peraturan Mesyuarat apabila diperlukan.


"Peraturan Mesyuarat merupakan peraturan tatacara yang diluluskan oleh Ahli Parlimen sendiri di bawah Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan. Kesannya, Yang di-Pertua tidak mempunyai kuasa sedia ada untuk bertindak secara bebas di luar Peraturan Mesyuarat.


"Oleh sebab itu, Yang di-Pertua tidak mempunyai kuasa untuk mengehadkan bilangan Ahli Parlimen daripada memasuki Dewan atau menghalang mereka daripada mengambil bahagian dalam persidangan Parlimen," katanya dalam kenyataan.


Pada masa sama, William berpendapat speaker, menteri Parlimen atau ketua-ketua Whip tidak boleh sama sekali mengetepikan hak-hak Perlembagaan Ahli Parlimen untuk memasuki persidangan Parlimen.


"Ia merupakan satu keputusan yang dibuat atas konsensus Whip parti politik masing-masing. Ini bermaksud setiap Ahli Parlimen dengan sukarelanya membuat keputusan sendiri untuk tidak memasuki Dewan Parlimen jikalau kehadiran beliau melebihi 80 Ahli Parlimen.


"Ia adalah berbeza dengan Yang di-Pertua mempunyai kuasa untuk mengehadkan Ahli Parlimen menghadiri Persidangan Dewan.


"Sekatan secara sukarela oleh Ahli Parlimen ini merupakan satu penyelesaian yang bertanggungjawab dan praktikal, dalam memastikan Parlimen berfungsi pada tempoh wabak COVID-19.


"Banyak Parlimen seperti Dewan Rakyat United Kingdom, Parlimen di Ireland dan Australia telah bersetuju antara ahli-ahli untuk mengurangkan kehadiran bilangan ahli parlimen dalam sidang untuk menangani cabaran Parlimen berfungsi semasa wabak COVID-19.


"Oleh itu, ia adalah penting untuk menekankan bahawa had 80 Ahli Parlimen adalah berdasarkan keputusan sukarela Ahli Parlimen untuk tidak memasuki Dewan Parlimen melebihi bilangan ini. Ia merupakan satu langkah sementara yang memastikan Parlimen berfungsi pada tempoh pandemik COVID-19," katanya.


Justeru, William meminta speaker tidak menghalang mana-mana ahli parlimen yang mahu menyertai perbahasan di Parlimen.

"Saya meminta Yang di-Pertua tidak menempatkan bentara di depan pintu masuk Dewan untuk menghalang Ahli Parlimen daripada memasuki tanpa pas masuk.


"Jika Yang di-Pertua berbuat sedemikian, ini akan menjadi satu hakisan dan ancaman terhadap prinsip asas demokrasi berperlembagaan.


"Perihal salah faham ini harus diperbetul, jika tidak inilah caranya demokrasi dimatikan," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page