Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ariff Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming telah menjalankan tugas dengan baik, mengapa perlu ditukar?
Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang menuntut jawapan dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengemukakan usul agar Speaker ditukar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan sekumpulan Ahli Parlimen tersebut, Ariff telah melakukan pelbagai reformasi dan penambahbaikan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen. Oleh itu, alasan kukuh diperlukan jika kerajaan mahu menurunkan beliau dan timbalannya dari posisi mereka.
"Langkah-langkah pembaharuan diperkenalkan untuk mempertingkatkan mutu dan memastikan ketelusan prosiding Parlimen. Antaranya termasuk menubuhkan enam Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender serta mewujudkan Kumpulan-Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Groups) untuk lebih merakyatkan Parlimen.
"Parlimen institusi penting wadah demokrasi membawa suara rakyat. Oleh itu ia tidak harus dijadikan medan percaturan politik secara sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah.
"Kami Ahli-Ahli Parlimen dari parti blok pembangkang tidak bersetuju dan tidak menyokong cadangan penukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalannya kerana jawatan tersebut haruslah berkecuali dan tidak terkesan dengan mana-mana pergolakan politik," kata kenyataan berkenaan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Fahmi Fadzil (KEADILAN), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (AMANAH), Alice Lau Kiong Yieng (DAP), Dr Maszlee Malik (BERSATU paksi berprinsip), Datuk Liew Vui Keong (WARISAN), DS Wilfred Madius Tangau (UPKO) dan Baru Bian (PSB).
Usul menukar Speaker dijangka merupakan usul pembukaan sidang Parlimen 13 Julai ini.
Prosedur menukar Speaker perlu dibuat melalui undian yang dilakukan dengan cara Bentara Dewan Rakyat bertanya kepada setiap Ahli Parlimen perlukah Speaker diundi untuk ditukar.
Sekiranya undi memihak kepada usul PN maka akan dilaksanakan undian secara sulit bagi memilih Speaker baharu.
Commenti