top of page

Speaker enggan minta MP Bintulu mohon maaf, walaupun hina KP Kesihatan


Sidang Parlimen hari ini sekali lagi bertukar kecoh apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengarahkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng keluar dewan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing yang menghina Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Kekecohan itu bermula apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin meminta speaker menggunakan kuasanya supaya meminta Tiong menarik balik kenyataannya.


"Mengikut peraturan dewan 36(9), dalam apa-apa perbahasan tidak boleh disebut kelakuan atau sifat siapa-siapa ahli parlimen atau pegawai kerajaan selain kelakuan menjalankan urusannya sebagai ahli parlimen dan pegawai kerajaan.


"Saya ingin merujuk perbahasan Ahli Parlimen Bintulu, apabila dia perlekehkan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa dia takut mati, ia menimbulkan perbahasan sengit tetapi speaker membuat keputusan untuk menghormati percakapan Yang Berhormat Bintulu.


"Saya nak rujuk kepada 'doctrine of ministerial responsibility'. Apabila seorang pegawai kerajaan diperlekeh oleh ahli parlimen atau sesiapa pun, adalah menjadi tanggungjawab menteri kesihatan untuk pertahankan anak buahnya.


"Mana-mana pegawai kerajaan yang diperlekeh, maka perlu pegawai tinggi iaitu menteri tampil pertahankan ketua pengarah kesihatan tapi sampai sekarang belum nampak menteri pertahankan pegawainya.


"Justeru, saya meminta speaker memberi 'ruling' kepada menteri kesihatan supaya memohon Yang Berhormat Bintulu menarik balik dan meminta maaf kerana itu dibawah kuasa menteri untuk pertahankan anak buah mereka," katanya.


Kenyataan itu disokong oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.


"Saya minta speaker kaji semula dan meminta Yang Berhormat Bintulu menarik balik apa yang disebutkan ke atas ketua pengarah kesihatan.


"Ia sesuatu yang amat menjijikkan untuk pemimpin frontliner yang mempertahankan kesihatan dari COVID-19 dengan menyatakan mengapa tidak buat lawatan, sedangkan sebenarnya lawatan dah buat dan menghina dia takut mati.


"Itu sesuatu yang tak munasabah tetapi Dr Hisham kata dia tak takut mati, terpulang kepada tuhan yang tentukan segalanya.


"Namun kenyataan Yang Berhormat Bintulu seharusnya dikecam oleh dewan yang mulia ini, harap beliau minta maaf dan tarik balik, minta semua dari kerajaan mengecam penghinaan yang dibuat oleh beliau," katanya.


Speaker bagaimanapun hanya berpendapat kenyataan ahli parlimen perlu dikawal dan menganggap perkataan yang digunakan agak kasar.


"Timbalan speaker telah buat ;ruling', apabila telah dibuat mengikut peraturan 43, maka keputusan itu muktamad, saya tidak mempunyai kuasa untuk revisit keputusan itu," katanya.


Namun, belum sempat speaker menghabiskan ayatnya, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bangkit menyampuk.


"Itu ruling yang bodoh!" katanya.


Kenyataan itu mengundang kemarahan speaker dan beberapa ahli parlimen kerajaan yang meminta Lim menarik balik kenyataan itu.


Lim bagaimanapun enggan berbuat demikian, sehingga speaker mengarahkan beliau keluar dari dewan dan digantung dua hari daripada menghadiri persidangan.


Namun Lim enggan keluar dewan, walaupun sudah beberapa bentara berada di sekelilingnya meminta beliau keluar.


Malah, beliau mendakwa speaker bersekongkol dengan Ahli Parlimen Bintulu untuk menghina petugas barisan hadapan.


Speaker bertindak menaikkan tempoh penggantungannya sehingga ke lima hari dan mengugut untuk memanggil polis.


Lim akhirnya keluar dari dewan, namun speaker kekal dengan pendiriannya dan enggan meminta Ahli Parlimen Bintulu membuat permohonan maaf.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page