top of page

Speaker DUN tidak pula persoal isu sidang hibrid? - Fahmi


Keanehan timbul apabila Speaker Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini mempersoalkan mengenai keperluan sidang Parlimen dilaksanakan secara kehadiran fizikal dan atas talian.


Kemudian timbul isu keperluan meminda peraturan mesyuarat serta sidang sehari bagi meluluskan pindaan sebelum sidang Dewan Rakyat sepenuhnya pada September.


Bagi Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, hal tersebut kelihatan 'mengarut' kerana Speaker DUN di negeri-negeri yang diketuai Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) dan Umno tidak pula mempertikaikan hal berkenaan.


"Bila Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Jun ini, apakah agaknya mereka bincangkan? Tetapi kita kena ingat kedua-duanya (Speaker Dewan Rakyat dan Negara) telah mengeluarkan kenyataan bersama sebelum dipanggil menghadap.


"Ini pening sebab dikatakan Parlimen kena pertimbangkan untuk dibuat secara hibrid. Kena pertimbang susun atur juga bagaimana kita akan uruskan Ahli Parlimen yang begitu ramai.


"Namun hakikatnya, 8 daripada 13 DUN sama ada sudah dapat tarikh atau mohon perkenan dari Sultan atau Agong (untuk buat sidang DUN). Melaka (buat sidang DUN) pertengahan Julai, Negeri Sembilan pertengahan Ogos, Johor 12 Ogos, Selangor 23 Ogos, Perlis 24 Ogos, Pahang bulan Ogos, Pulau Pinang mohon perkenan Agong.


"Ada tak kita dengar mana-mana speaker DUN ini yang mengatakan kami terpaksa tunggu dulu, pertimbang, laksana secara hibrid? Tak ada. Mereka terus saja buat sebab Sultan negeri mereka atau Agong telah keluarkan titah buat sidang secepat mungkin.


"Jika kita ingat tahun lepas sidang berjalan dalam pandemik. Waktu undian, ada Ahli Parlimen yang dibenarkan hadir (walau dalam kuarantin) untuk membuang undi, mereka pakai PPE sepenuhnya macam barisan hadapan. Tetapi sekarang tak terfikir mereka (boleh lakukan seperti itu). Hendak mudah, tak payah buat sidang hibrid (tidak perlu pinda peraturan)," katanya dalam sesi siaran Facebook, malam tadi.


Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mengkritik tindakan Speaker Azizan Harun yang memanggil sidang khas Dewan Rakyat bagi meluluskan pindaan peraturan mesyuarat dengan kehadiran penuh Ahli-ahli Parlimen tetapi enggan meneruskan persidangan sebagaimana tahun lalu yang juga diadakan sewaktu pandemik.


Selain itu, Fahmi turun membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu baru-baru ini mengenai kesukaran hidup rakyat yang perlu ditangani segera oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).


"Kita kena baca keseluruhan isi kandungan kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Dari situ kita faham mengapa perlu diadakan persidangan Parlimen dan DUN, iaitu sebagai institusi yang membolehkan suara rakyat didengar. Masalah rakyat dibahas, dasar kerajaan dipertimbang dan dari situ membolehkan penyelesaian yang lebih tuntas dicapai.


"Cuba bayangkan dari 1 Jun hingga 27 Jun kita dalam PKP, seramai 161,000 dijangkiti Covid. Petanda langkah kerajaan gagal walaupun ada PKP penuh. Rakyat terus sensara. Kita baca ada saja orang cuba membunuh diri.


"Orang dihalau dari rumah, ada anak nak PdPR kalau pergi ke supermarket seksyen beli alat tulis tutup. Yang ada laptop katakan rosak, nak baikki tak boleh kedai tutup. Siapalah punya perancangan?


"Kementerian Komunikasi pula baru nak tubuh jawatankuasa untuk kenalpasti mana lokasi yang tidak ada internet. Ini PKP 3.0, dah lebih setahun kita berPKP dan bertarung dengan Covid 19.


"Cikgu-cikgu berusaha sedaya upaya, hari ini Saifuddin Abdullah baru terfikir nak tubuhkan jawatankuasa? Dulu kes adik Viviona (terpaksa panjat pokok dapat akses internet) menteri menafikan masalah yang wujud di Kudat, Sabah itu. Mereka ini ada satu mentaliti tidak berpijak di bumi nyata. Mereka tidak betul-betul merasai masalah rakyat," katanya lagi.


Fahmi juga menyentuh mengenai tindakan parti Pas yang ketika PH memerintah memainkan emosi Melayu kononnya terpinggir atau diancam DAP.


Malah kerajaan PN juga, katanya, pernah membangkitkan wasiat Raja-raja Melayu konon mempertahakan tindakan mereka mengutamakan kaum Melayu.


Bagaimanapun, kata Fahmi, apabila Agong dan Raja-raja Melayu menegur kelemahan PN, tidak pula kerajaan atau parti-parti perkauman dalam gabungan itu menonjolkan titah institusi raja-raja Melayu tersebut.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page