top of page

Speaker benarkan 3 MP langgar kuarantin, pembangkang pakat keluar dewan


Sidang Parlimen hari ini dikejutkan dengan kehadiran tiga ahli parlimen yang masih lagi berada di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) berada dalam Dewan Rakyat sambil memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) untuk sesi pengundian belah bahagian di Parlimen.


Mereka adalah Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, Ahli Parlimen Tenggara, Dr Adham Baba dan Ahli Parlimen Batu, P Parabakaran.


Ia berlaku ketika Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari meminta undi belah bahagian diadakan selepas sesi perbahasan peruntukan Belanjawan 2021 untuk Kementerian Wilayah.


Namun, timbalan speaker Rashid Hasnon berkata terdapat tiga ahli parlimen yang masih dalam kuarantin dibenarkan mengundi.


"Mereka telah memohon untuk berada di dewan untuk mengundi mengikut SOP ditetapkan dan mereka akan ada di galeri awam semasa undian diadakan.


"Penghitung undian dan pemerhati di blok berkenaan akan memakai 'face shield' untuk naik ke galeri awam dan mengambil undian ahli parlimen tersebut dan selepas itu blok undian masing-masing akan diambil oleh penghitung dan pemerhati," katanya.


Perkara itu ternyata mengundang rasa tidak puas hati ahli parlimen pembangkang.


Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar mempersoalkan perkara itu kepada speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun sebaik sahaja beliau masuk ke dewan semula untuk pengundian.


"Atas alasan apa mereka dibenarkan masuk ke Parlimen bila sudah ada kontak rapat. Apa alasan speaker?" soal beliau.


Azhar kemudian memberikan alasan aneh bahawa beliau terpaksa berbuat demikian kerana terdapat ahli parlimen pembangkang yang melanggar kuarantin pada minggu lepas, seolah-olah meletakkan kesalahan itu kepada pembangkang.


"Mereka hendak mengundi, sebab hari Khamis lalu terdapat seorang ahli parlimen pembangkang tidak mematuhi perintah kuarantin datang mengundi, saya tidak mahu perkara itu berlaku lagi jadi saya 'regulate' pengundian ini.


"Saya akan ambil tindakan, tapi daripada orang tidak mematuhi perintah kuarantin lebih baik saya regulate pengundian ini.


"Kamu takut pengundian ke? Mereka sebenarnya didapati negatif," katanya.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta penjelasan daripada speaker.


"Kita minta speaker beri penjelasan apa yang berlaku itu sahaja, bagi penjelasan jelas," katanya.


Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman juga berang dengan tindakan speaker.


"Jangan gadaikan keselamatan ahli-ahli parlimen, kami ada anak bini speaker, ini soal Covid-19," katanya.


Namun, speaker enggan melayan desakan pembangkang, sebaliknya meneruskan sesi undi belah bahagian.


Tindakan speaker itu membuatkan Anwar bangkit dari tempat duduknya dan keluar dari dewan.


Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu juga menyeru rakan-rakannya supaya tidak mengundi dan mengikuti tindakan Anwar untuk keluar dari dewan.


"Tak payah mengundi, Parlimen sudah tidak ada undang-undang," katanya.


Tindakan pembangkang itu menyebabkan undi belah bahagian memihak kepada kerajaan yang meraih 110 undian berbanding 7 undi dari pembangkang, selepas 31 ahli parlimen tidak mengundi manakala 32 orang lagi tidak hadir, sekali gus meluluskan peruntukan untuk Kementerian Wilayah.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page