SpaceX sumbang 50 kit Starlink sokong kesiapsiagaan bencana negara


SpaceX menyumbang 50 unit kit Starlink kepada Malaysia bagi menyokong kesiapsiagaan bencana negara, hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan delegasi SpaceX di Putrajaya petang tadi.
Sumbangan berkenaan menjadi antara hasil utama perbincangan yang turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama melalui Starlink, perkhidmatan internet satelit kendalian SpaceX.
Anwar berkata, kerjasama itu penting dalam usaha memperluas capaian internet, khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang masih berdepan cabaran mendapatkan akses internet berkualiti.
Beliau menghargai peranan Starlink dalam menyokong usaha Kerajaan memperluas liputan dan meningkatkan mutu capaian internet menerusi JENDELA, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung.
Perdana Menteri turut menyambut baik pengoperasian infrastruktur Point of Presence (PoP) Starlink di Cyberjaya, yang dapat membantu melancarkan trafik data tempatan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
Menurut Anwar, kemajuan teknologi perlu membawa manfaat yang nyata kepada rakyat dan tidak seharusnya meninggalkan masyarakat di kawasan pedalaman daripada arus kemajuan negara.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa peluasan capaian internet perlu bergerak seiring dengan perhatian terhadap keselamatan siber, perlindungan data dan penggunaan internet yang selamat.
Kerjasama serta sumbangan Starlink itu dilihat menyokong usaha kesiapsiagaan negara, khususnya dalam memastikan kemudahan komunikasi dapat membantu ketika berdepan situasi bencana.




Comments