top of page

SOSMA kekal diperlukan tangani ancaman keganasan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 18, 2025
  • 2 min read

David Cheong Kian Young menerima kunjungan kepimpinan SUARAM di Pusat Khidmat DUN Kajang
David Cheong Kian Young menerima kunjungan kepimpinan SUARAM di Pusat Khidmat DUN Kajang

Oleh: Akmal Manaf


Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih diperlukan dalam mengekang keganasan yang berlaku di negara ini, kata David Cheong Kian Young.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang itu menjelaskan demikian kepada Kepimpinan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang membangkitkan persoalan tentang keperluan mengekalkan SOSMA ketika pertemuan baru-baru ini.


''Mereka menyatakan bahawa atas faktor sejarah dan pengalaman, sepatutnya Datuk Seri Anwar adalah individu yang paling faham tentang kelemahan dan bahaya SOSMA jika dikekalkan.


''Dalam hal ini, saya jelaskan kepada mereka bahawa benar, pada Februari lalu Datuk Seri Anwar telah menegaskan SOSMA akan kekal.


''Ini adalah berdasarkan kepada keadaan semasa iaitu terdapat aktiviti keganasan di negara ini yang berada pada ditahap tidak boleh dipandang ringan.


''Maka SOSMA kekal diperlukan sebagai instrumen penting dalam menangani jenayah serius, kompleks, dan terancang yang mengancam keselamatan negara,'' katanya dalam satu kenyataan.


Walau bagaimanapun, menurut David, pengekalan SOSMA bukan bersifat kekal malah terdapat usaha meneliti semula akta tersebut atau memindanya bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan negara dan hak asasi manusia.


Ujarnya, ruang yang secukupnya perlu diberikan kepada PM Anwar untuk melakukan reformasi secara berfasa mengikut keutamaan setiap perkara.


''Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun memimpin Kerajaan MADANI, terlalu banyak perkara yang PMX perlu laksanakan.


''Saya sangat yakin keutamaan yang beliau tumpukan sekarang adalah meningkatkan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.


''Saya kenal PMX.. beliau memiliki hati yang sangat murni dan berjiwa mulia. Beliau sentiasa memikirkan untuk menolong rakyat dan negara.


''Saya yakin beliau akan laksanakan reformasi sehingga mencapai tahap tertinggi Malaysia MADANI,'' katanya lagi.


Pada Februari lalu, Kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).


Hal itu dinyatakan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menjelaskan penelitian terhadap semakan itu dibuat susulan pengumuman mengenai pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).


Beliau menjelaskan secara prinsip, Jemaah Menteri bersetuju supaya beberapa perkara dalam SOSMA diperbaiki dalam pindaan akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page