Menjelang Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 12 Februari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) seharusnya mengeluarkan Prosidur Operasi Standard (SOP) yang memudahkan kaum Cina untuk menyambut perayaan tersebut, bukan mengelirukan mereka.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, SOP yang dikeluarkan oleh MKN dikritik rakyat, terutamanya kaum Tioghua kerana pelbagai kelemahan.
Biar pun beliau mengalu-alukan usaha MKN menetapkan SOP bagi mengelakkan penularan wabak Covid sepanjang musim perayaan.
"Tidak boleh dinafikan SOP yang diumumkan wujud kelemahan yang amat ketara dari segi memahami budaya kaum Cina.
"Contohnya, SOP melarang reunion dinner pada hari pertama dan kedua Tahun Baru Cina. Mungkin MKN tidak sedar hakikatnya reunion dinner diadakan sehari sebelum Tahun Baru Cina.
"Ziarah menziarahi dilarang pada hari pertama dan kedua. Tetapi rakyat bebas ke pasar malam, ke pasar raya membeli belah. Apa logiknya?
"Larangan ke tempat ibadat dihadkan pada hari pertama dan kedua Tahun Baru Cina, tetapi secara kebiasaan, sambutan adalah sehingga Chap Goh Meh (hari ke lima belas). Apakah SOP seterusnya?" tanya beliau.
Pengarah Biro Strategi KEADILAN itu juga berharap MKN akan lebih memahami budaya masyarakat Cina dalam menyambut Tahun baharu dan memikirkan untuk menambah keahlian MKN yang diwakili daripada pelbagai kaum untuk mengeluarkan SOP yang lebih realistik.
"Penetapan SOP menunjukkan kelemahan ketara MKN memahami negara majmuk dan pelbagai budaya. Hal ini menyebabkan Timbalan Menteri Perpaduan Ti Lian Ker daripada kerajaan Perikatan Nasional turut mengkritik SOP tersebut.
"Ti sepatutnya mengkaji kegagalan Kementerian Perpaduan beliau sendiri, dalam memupuk perpaduan dan faham memahami dalam kerajaan sendiri.
"Adalah perlu MKN menerapkan anggota pelbagai bangsa dan agama supaya penetapan SOP itu lebih memahami semua rakyat," katanya.
Sehubungan itu, Sim menyeru jawatankuasa teknikal MKN menerap beberapa orang ahli dari pelbagai bangsa dan agama supaya SOP yang dikeluarkan lebih efektif dan mengelakkan U-turn yang mengelirukan rakyat.
Comments