SOP PKP berubah-ubah, menteri PN pula kebal langgar peraturan?



Prosidur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah pun wujud sejak Mac 2020.


Namun malangnya pihak berkuasa sering memburu dan mengkompaun rakyat marhaen yang melanggar SOP sedangkan pada masa sama kurang bertindak ke atas menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional yang ingkar atau melanggar peraturan.


Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir, tauladan buruk yang ditunjukkan oleh individu yang berkuasa itu seolah-olah menggambarkan kewujudan dua set undang-undang yang berbeza di negara ini.


"Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat apabila pelaksanaan SOP dilihat berat sebelah dan hanya dikenakan kepada rakyat manakala menteri-menteri bebas untuk melakukan pelbagai aktiviti yang melanggar SOP.


"Sebagai contoh, laporan berita dari BERNAMA pada 17 Januari 2021 yang dimuatnaik di Twitter tetapi kemudiannya dipadam telah melaporkan rombongan rentas negeri Menteri Kanan, Timbalan Speaker dan beberapa pimpinan Perikatan Nasional yang lain bagi menjalankan beberapa program termasuklah mengadakan mesyuarat, program di dalam dewan, makan berkumpulan serta beberapa aktiviti lain yang melibatkan himpunan ramai.


"Ini jelas melanggar SOP yang dikenakan iaitu larangan mesyuarat agensi kerajaan dan swasta melibatkan wakil agensi luar serta larangan acara yang melibatkan ramai orang di kawasan PKP.


"Sudah pasti ia menimbulkan kegusaran kepada rakyat Johor apabila menteri serta rombongan dari Selangor dibenarkan rentas negeri dan menyertai beberapa program tatkala kluster menteri kabinet positif Covid-19 semakin meningkat. Namun hingga kini tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap Menteri Kanan berkenaan, sedangkan jika rakyat biasa yang melakukan sudah pasti dikenakan hukuman," katanya dalam satu kenyataan.


Selain itu, Menurut Ahli parlimen Johor Bahru itu lagi, pecanggahan arahan SOP juga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.


Tidak kurang yang dikompaun, katanya, kerana tidak mematuhi SOP baharu yang mereka tidak faham atau tidak sampai ke pengetahuan rakyat.


"Percanggahan SOP juga merupakan antara isu utama yang mendapat rungutan rakyat. Sebagai contoh, pada 12 Januari 2021, Menteri Kanan Keselamatan berkata program ke kawasan bencana dibenarkan.


"Namun pada 14 Januari 2021, Menteri Besar Pahang pula mengeluarkan arahan bahawa program dari luar Pahang terutama dari zon merah PKP tidak dibenarkan.


"SOP yang tidak jelas dan ditambah dengan layanan istimewa kepada menteri dalam pematuhan SOP seperti ini perlu dihentikan. Janganlah pengorbanan rakyat yang terkesan teruk akibat PKP dari segi pendapatan dan kehidupan disia-siakan dengan amalan dua darjat ini," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio