SOP ketat, PRN Sarawak bakal terencat?
- Suara Keadilan
- Dec 5, 2021
- 1 min read

Suasana berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mulai 6 Disember hingga 18 Disember ini dijangka terencat sebagaimana PRN Melaka pada bulan lalu.
Hal ini kerana peraturan menghadkan hanya 5 pemimpin tertinggi parti politik dibenarkan hadir ke Sarawak dalam Prosedur Operasi Piawai (SOP) kempen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang tadi.
"Rentas negeri tidak dibenarkan untuk tujuan berkempen sepanjang tempoh pilihan raya kecuali lima orang pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.
"Nama-nama pemimpin tertinggi parti hendaklah dikemukakan kepada JPBN Sarawak.
"Kemasukan ke Sarawak adalah tertakluk kepada SOP yang sedang berkuat kuasa dan dihadkan kepada aktiviti yang diluluskan dalam permohonan enterSarawak," kata kenyataan berkenaan.
Selain itu, SOP pada hari penamaan calon esok tidak jauh berbeza dengan PRN Melaka dengan para penyokong tidak dibenarkan hadir dan tiada perarakan.
"Aktiviti berkumpul dan perarakan para penyokong semua parti turut tidak dibenarkan di setiap kawasan dan tempat sepanjang hari penamaan calon.
"Malah, SOP lain yang ditetapkan pada hari penamaan, calon atau pencadang dan penyokong yang mempunyai gejala perlu diasing dan ditempatkan di khemah khas dengan serta merta.
"Ujian RTK Ag kendiri akan dijalankan ke atas calon, pencadang dan penyokong yang bergejala dan jika didapati negatif akan dibenarkan masuk ke dewan PPC," kata kenyataan itu.
Cuma terdapat sedikit kelegaan apabila SOP membenarkan ceramah dianjurkan di kawasan kawasan yang kekurangan liputan internet dan kempen secara atas talian tidak boleh dilakukan.
Bagaimanapun tidak diketahui setakat mana pembangkang akan mempunyai akses kepada permit ceramah yang perlu dipohon terlebih dahulu, atau menghadapi syarat syarat ketat lain sepanjang tempoh kempen.
PRN Sarawak akan menyaksikan Gabungan Parti Sarawak meletakkan calon di kesemua 82 kerusi dipertandingkan dan Pakatan Harapan akan meletakkan calon di hampir 60 kerusi.
Comments