SOP keselamatan hospital diperketat tangani kes penyamaran petugas - KKM
- Suara Keadilan
- Apr 23
- 1 min read

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertingkat prosedur operasi standard (SOP) kawalan keselamatan di semua fasiliti kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu susulan insiden penyamaran sebagai kakitangan perubatan yang berlaku di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis baru-baru ini.
Tegasnya, keselamatan hospital adalah keutamaan dan KKM tidak akan berkompromi dalam menangani isu yang menjejaskan integriti sistem kesihatan negara.
"Kita lihat keseluruhan perkara yang menjejaskan keselamatan dan kesemua itu akan kami pertimbangkan untuk diperketatkan. Soal keselamatan tidak akan kami kompromi.
"Isu pembelian uniform perubatan secara dalam talian juga akan disiasat," katanya dipetik ketika ditemui media sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KKM di Putrajaya pada Selasa.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis pada Isnin mengesahkan insiden seorang lelaki menyamar sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP).
Pengarah Kesihatan negeri Dr Ghazali Chik berkata kejadian itu berlaku pada 8 April lalu dan pelaku dikenal pasti sebagai orang awam berusia 22 tahun yang lengkap berpakaian seragam PPP serta membawa beg peralatan perubatan.
Laporan telah dibuat dan pihak polis kini menjalankan siasatan terhadap kes itu di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Comments