top of page

Solo di Johor, mahu runding di N Sembilan: BN amal dwi-standard politik?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Kepimpinan UMNO-Barisan Nasional (BN) didakwa mengamalkan dwi-standard politik susulan kenyataan terbaharu berhubung rundingan kerjasama pra-pilihanraya di Negeri Sembilan.


Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar), kenyataan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa “ruang rundingan masih terbuka” disifatkan sebagai cubaan ‘damage control’ yang tidak konsisten dengan tindakan parti itu sebelum ini di Negeri Sembilan apabila menarik sokongan ke atas pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dari Pakatan Harapan pada April lalu.


"Rakyat Negeri Sembilan tidak buta. Sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) diumumkan semalam oleh Datuk Seri Aminuddin Harun, di manakah suara "rundingan" dan "semangat Kerajaan Perpaduan" yang dilaungkan oleh BN?" tanyanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mahfuz mempersoalkan mengapa pendekatan BN berbeza antara Johor dan Negeri Sembilan, sedangkan konsep Kerajaan Perpaduan sering dijadikan alasan dalam rundingan politik.


"Di Johor, BN dari awal pembentukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya langsung tidak memperdulikan PH Johor


"Namun, apabila PH Negeri Sembilan mengambil langkah berani dan bermaruah dengan memulangkan mandat kepada rakyat demi menamatkan kemelut politik yang dicetuskan oleh BN, tiba-tiba sahaja UMNO-BN menjadi "lembut lidah" mahu berunding," katanya.


Beliau berkata, tindakan itu jelas menunjukkan BN hanya menggunakan konsep Kerajaan Perpaduan apabila ia menguntungkan kedudukan politik mereka.


Dalam pada itu, Mahfuz turut mengaitkan desakan awal untuk mengadakan pilihanraya dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum ini mahu krisis politik diselesaikan melalui mandat rakyat.


Mahfuz juga mendakwa tindakan BN sebelum ini melepaskan jawatan dalam Kerajaan Negeri serta mencetuskan ketidakstabilan menjadi punca utama pembubaran DUN.


"Anda yang membakar kelambu, janganlah hari ini berpura-pura menjadi bomba," katanya.


Sehubungan itu, mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan keputusan PH untuk bertanding di kesemua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan berasaskan prinsip mempertahankan maruah rakyat.


"Pakatan Harapan tidak akan membiarkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat terus diganggu oleh muslihat politik yang tidak berkesudahan," katanya.


Tambah beliau, rakyat Negeri Sembilan kini bersedia untuk membuat penilaian di peti undi bagi menentukan pihak yang benar-benar ikhlas berkhidmat.


"Biarlah rakyat Negeri Sembilan yang menjadi hakim tertinggi untuk menilai siapa yang ikhlas berkhidmat, dan siapa yang hanya gilakan kuasa sehingga sanggup menggadaikan kestabilan negeri," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page