Solidariti Palestin: Program tidak salah tetapi guna pendekatan kedamaian, harmoni


Oleh: Abdullah Zaid
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai memperjelaskan teguran beliau mengenai penganjuran Minggu Solidariti Palestin di peringkat sekolah agar diperhalusi sebelum ini adalah bagi memastikan program tersebut berjalan secara baik dan harmoni sesuai dengan nilai budaya masyarakat Malaysia.
Katanya, kaedah penerangan berbentuk kedamaian dan kebaikan perlu ditonjolkan dalam program berkenaan iaitu yang bersesuaian dengan pemahaman kanak-kanak di sekolah rendah.
"Saya ingin tegaskan bahawa saya menyokong gesaan free Palestine (bebas Palestin), kerana saya benar-benar bersimpati terhadap nasib mereka yang puluhan tahun dinafikan hak dan ditindas.
"Justeru, saya menerima baik solidariti sebegitu dimasukkan ke dalam sekolah menengah dan rendah, ia boleh diterima.
"Tetapi, untuk memberi pendidikan dan kesedaran, kita perlu mengkaji semula approach (pendekatan) yang menyentuh kebaikan dan kedamaian kerana pelajar terutama sekolah rendah memerlukan cara yang lebih harmoni dan bukan sebaliknya," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Sementara itu, pada 28 Oktober, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengingatkan pihak yang menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah untuk mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Katanya, solidariti tersebut antara lain bagi mendidik murid-murid dengan nilai kemanusiaan, merangkumi hak asasi manusia, keamanan, keharmonian dan kedamaian sejagat.
Adam Loh sejak semalam diserang oleh puak pro pembangkang yang mengaitkan teguran beliau terhadap Minggu Solidariti Palestin sebelum ini sebagai menyokong Israel dan anti Palestin.
ADUN Bakar Arang itu menegaskan program tersebut tiada masalah asalkan tidak dicampuri usur unsur ektremisme sebagai mana yang tular di media sosial berhubung sebuah sekolah yang menganjurkan program hampir serupa tetapi membenarkan pelajar membawa senjata mainan dan sebagainya untuk pengisian program.
Untuk rekod, Adam Loh antara 12 Ahli Parlimen dan ADUN KEADILAN yang mahu Kementerian Pendidikan mengkaji semula penganjuran Minggu Solidariti Palestin selepas tersebar berita terdapat unsur radikalisme dalam pengisian program berkenaan di sebuah sekolah.




Comments