Solidariti berterusan tuntut sukarelawan ditahan Israel segera dibebaskan
- Suara Keadilan

- Oct 3
- 1 min read

Bantahan keras rakyat Malaysia susulan tindakan Israel menculik anggota misi Global Sumud Flotila (GSF) sejak semalam berterusan hingga hari ini apabila orang ramai berarak di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.
Walaupun hujan sejak pagi tadi di ibu negara, ia tidak menghalang peserta himpunan anti-Israel untuk turun ke jalan raya.
Dengan perarakan bermula di hadapan bangunan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas selesai solat Jumaat, beberapa tokoh tampil menyampaikan ucapan.
Laungan "free Palestine", "hancur Israel" dan "jahanam Amerika" bergema sepanjang Jalan Tun Razak ketika protes berlangsung.
Himpunan yang menghimpunkan NGO serta pemimpin politik daripada pelbagai parti itu bertujuan menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, pada mulanya bertindak sebagai wakil bagi menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan AS.
Namun tiada wakil kedutaan tampil menerima bantahan itu dan memorandum hanya diletakkan di dalam peti surat.
Bagaimanapun, Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN memaklumkan beliau telah menerima panggilan daripada kedutaan AS yang bersetuju untuk menerima memorandum tersebut.
Beliau bersama Pengarah Biro Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik dan Hafez kemudian dibenarkan masuk ke dalam bangunan kedutaan bagi menyerahkan dokumen bantahan berkenaan.
Himpunan selama lebih dua jam itu berlangsung secara aman dengan kawalan pihak polis.









Comments