top of page

Risiko eskalasi geopolitik Asia Barat: Dunia Islam perlu bertindak - MAPIM

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi mencetuskan konflik lebih meluas dan mengancam kestabilan serantau serta antarabangsa.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata perkembangan semasa menunjukkan konflik tidak lagi bersifat setempat, sebaliknya berkembang dalam rangkaian kompleks melibatkan dimensi ketenteraan, politik dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.


"Perkembangan terkini serta pelbagai amaran yang disuarakan oleh pihak-pihak serantau, termasuk Iran, menggambarkan kebimbangan yang semakin mendalam bahawa konflik ini tidak lagi terhad kepada satu negara atau satu medan sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, dunia Islam dan komuniti antarabangsa tidak boleh menganggap konflik berterusan ini sebagai insiden terpencil memandangkan corak peningkatan ketegangan dan konflik proksi menunjukkan risiko peluasan konflik yang semakin tinggi.


"Isu utama bukan sekadar siapa yang akan terlibat seterusnya tetapi bagaimana dunia gagal membendung kitaran konflik yang semakin melebar," tegasnya.


Sehubungan itu, MAPIM menyeru semua pihak berkepentingan agar mengutamakan rundingan dan diplomasi berbanding tindakan ketenteraan, mengelakkan retorik yang boleh meningkatkan ketegangan, serta mematuhi undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.


MAPIM turut menekankan keperluan dunia Islam bergerak secara lebih tersusun dan bersepadu dalam menghadapi ketidaktentuan global, termasuk melalui penyelarasan politik yang lebih kukuh, pendekatan bersama dalam isu kemanusiaan, serta pengukuhan suara kolektif di platform antarabangsa.


Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa perpecahan hanya akan melemahkan keupayaan umat Islam untuk bertindak secara berkesan dalam menangani isu global.


Mengulas situasi kemanusiaan, MAPIM menegaskan bahawa penderitaan rakyat awam di pelbagai wilayah konflik, termasuk Gaza, semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera masyarakat antarabangsa.


"Maruah dan nyawa manusia mesti mengatasi kepentingan politik dan persaingan kuasa," ujar beliau.


MAPIM turut menggesa perubahan hala tuju global daripada eskalasi konflik kepada pembinaan kerangka damai berasaskan keadilan, termasuk mewujudkan mekanisme penyelesaian konflik yang berkesan, laluan bantuan kemanusiaan yang selamat, serta struktur kestabilan serantau jangka panjang.


"Dunia kini berada pada titik kritikal, di mana keputusan hari ini akan menentukan sama ada generasi akan datang mewarisi keamanan atau konflik berpanjangan," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page