top of page

Sokongan rakyat meningkat, kerja keras PMX berbaloi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 26
  • 2 min read

ree

Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Usaha gigih dan tanpa mengenal erti penat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membina semula negara sejak mengambil alih pentadbiran kini membuahkan hasil dan diterima positif oleh rakyat.


Hal ini berikutan kajian terbaru Merdeka Center yang mendapati sokongan terhadap kepimpinannya meningkat kepada 55 peratus berbanding 43 peratus pada Oktober tahun lalu.


Ekonomi di landasan betul


Ia adalah peningkatan yang ketara dan membanggakan yang antara lain disumbangkan melalui usaha mewujudkan lebih kestabilan dalam kerajaan dengan hadirnya sokongan daripada enam Ahli Parlimen pembangkang serta kejayaan meletakkan kedudukan ekonomi di landasan yang betul.


Faktor menyumbang kepada peningkatan sokongan itu menurut Merdeka Centre ialah kadar inflasi rendah iaitu pada 1.4% pada Mac 2025, pertumbuhan ekonomi positif 4.4% dalam suku pertama yang menyebabkan tekanan kos sara hidup berkurang, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dan bantuan subsidi semasa musim perayaan.


Semua pendekatan yang diambil oleh PMX itu secara langsung menyebabkan rakyat gembira, selesa dan percaya masa depan negara yang lebih baik di bawah kepimpinannya.


Ketidakpuasan hati menurun


Bersekali dengan meningkatnya sokongan itu, tahap ketidakpuasan rakyat juga didapati turun kepada 48%, berbanding 58% pada tahun sebelumnya.

PM Anwar sentiasa menyemak prestasi semasa pentadbiran dan ekonomi negara
PM Anwar sentiasa menyemak prestasi semasa pentadbiran dan ekonomi negara

Persepsi rakyat mengenai hala tuju negara turut menunjukkan peningkatan positif — jumlah yang percaya negara menuju ke arah yang betul meningkat kepada 43%, sedangkan yang berpendapat sebaliknya menurun daripada 61% kepada 50%.


Berdasarkan angka-angka kajian itu, tidak syak lagi negara di bawah kepimpinan PMX sedang berada di kedudukan yang tidak perlu diubah lagi.


Dalam pada itu usaha PMX meningkatkan segala kebajikan rakyat sangat menarik perhatian dan amat disanjung tinggi.


Ruang perbaiki prestasi terbuka


Anwar sentiasa terbuka dan berusaha mendengar dan mengambil tindakan daripada dapatan suara rakyat. Ruang untuk memperbaikinya juga sentiasa terbuka tanpa sikap pilih kasih.


Ini antara didorong oleh dasar kepimpinan beliau yang sedia mendengar kritikan dan memperbaiki kelemahan.


Atas dasar itu dan mengambil kira angka-angka positif daripada kajian Merdeka Center, ia seharusnya menjadi dorongan untuk rakyat terus bersama dengan Kerajaan Madani ini.


Dengan berterusannya sokongan rakyat, percayalah lebih kejayaan dan kemakmuran lain mampu dicapai lagi selepas ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page