top of page

Sokongan politik berubah pantas, jentera KEADILAN jangan alpa



Sokongan politik dalam beberapa siri pilihanraya kebelakangan ini berubah amat drastik dan tidak boleh lagi boleh dianggap mudah.


Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023 peringkat Selangor yang bertempat di IDCC, Shah Alam pagi tadi.


Menurut beliau, sekiranya ahli dan penyokong KEADILAN menggunakan data dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu untuk mengukur sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 6 bulan lagi maka keadaan mungkin telah berbeza ketika itu.


"Keputusan tersebut (PRU 15) di luar jangkaan, kita jangka tewas pada parti lain namun tewas kepada yang lain pula. Jadi kita kena kaji dan perhati tentang kedudukan kita yang tidak berapa stabil. Itu telah dicatatkan.


"Tetapi beberapa nama besar yang bertanding di Selangor mewakili lawan kita bukan mudah. Saya lawan menteri kanan, di Sungai Buloh kita lawan menteri yang popular. Di Kuala Selangor kita bertembung dengan menteri. Alhamdulillah calon kita atas nama Pakatan Harapan (PH) kita menang dengan 16 kerusi daripada 22 kerusi parlimen yang dipertandingkan.


"Jadi perhimpunan kita hari ini pencetus penting untuk hilangkan rasa selepas PRU dan menghilangkan kegembiraan melampau selepas membentuk Kerajaan Persekutuan dan melihat Anwar (dilantik) sebagai PM," katanya.


Menteri Besar Selangor itu berkata bahawa kes Pilihan Raya Kecil (PRK) Ijok yang selalu beliau gunakan sebelum ini untuk perbandingan kemaraan PH dalam PRU mungkin tidak lagi sesuai apabila terdapat keputusan berlainan antara PRN Johor dan PRU 15 yang jaraknya tidak sampai 10 bulan.


"Kes Ijok telah ditandingi (dikalahkan) negeri Johor. Antara PRN Johor dan PRU 15 ada 8 bulan. Dalam PRN kita dapat hanya 1 kerusi dan kalau ikut angka (ramalan) yang dibentang pada Nov 2022 kemungkinan kita hilang kesemua kerusi parlimen yang kita menangi di Johor


"Tetapi kerana masa yang betul, tema yang betul, hari ini PH menang 15 kerusi daripada 26 kerusi parlimen Johor termasuk pertahankan beberapa kerusi yang kita menang seperti Segamat, Johor Bahru, Sekijang.


"Maknanya sebagaimana pantasnya bertukar berita di TikTok begitulah bertukarnya nada politik. Kalau kita alpa dan rasa selesa kemungkinan kealpaan itu akan menjatuhkan kita dalam PRN," katanya.


Bagaimanaun, Amirudin tetap yakin PH Selangor akan menang dalam PRN 2023 tetapi kemenangan tidak akan secemerlang pada PRU lalu yang mana pembangkang dipaksa menerima kekalahan teruk.


Katanya, berdasarkan analisis keputusan PRU 15, terdapat kemungkinan PH boleh menang sehingga 40 kerusi.


Namun sekiranya bernasib baik, ujar Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu, strategi BN campur PH akan memberikan kelebihan untuk memenangi sehingga 53 daripada 56 kerusi.


Apa pun, kata Amirudin, KEADILAN tidak boleh lalai kerana keputusan mengejut gelombang PN dalam PRU lalu berlaku dalam keadaan yang tiada siapa dapat meramal dengan tepat.


"Justeru hari ini menjadi titik mula semula kepada semua jentera di peringkat cabang, daerah mengundi dan sebagainya untuk diaktifkan.


"Esok perlu aktifkan jentera, mulakan program dan perancangan kerana kita tak punya masa. Paling lama bulan Jun kita kena bubar DUN Selangor," katanya lagi.

0 comments

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page