Sokongan pengundi Kemaman ketara selepas ceramah Mega Madani


Oleh: Abdullah Zaid
Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob berkata calon BN mampu memberi tentangan sengit dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Katanya, keyakinan itu dizahirkan susulan sokongan pengundi Kemaman yang begitu ketara dalam tempoh 14 hari berkempen, terutama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turun dalam ceramah Mega Madani beberapa hari lalu.
"Peluang nak menang agak kelihatan bila kita anjurkan banyak program dan ceramah, kelompok di kawasan kawasan Felda beri sambutan baik.
"Paling nampak kejayaan itu adalah ceramah Mega Madani hampir 5 ribu orang Kemaman turun ke ceramah," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Justeru dalam minit akhir sebelum pengundian semalam, Nadhir menyifatkan kerja keras di antara jentera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) semakin baik untuk mencapai misi merampas semula kerusi Parlimen Kemaman.
"Setakat ini, kerjasama kita (PH-BN) sangat baik, daripada pihak BN, mereka banyak menguruskan permit (kempen) untuk memudahkan aktiviti kita membuat program.
"Cuma buat masa sekarang fokus kita di sosial media kerana pengundi di bandar lebih suka kempen media sosial.
"Manakala, di kawasan pinggir bandar pula kita banyak anjurkan kempen dari rumah ke rumah," ujarnya lagi.




Comments