top of page

Sokongan Melayu kepada UMNO pudar sebelum kerjasama dengan DAP - Penganalisis

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
ree

Dakwaan bahawa sokongan orang Melayu terhadap UMNO akan pulih sekiranya parti itu menamatkan kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak disokong oleh fakta sejarah pilihanraya.


Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (gambar) berkata, kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap UMNO sebaliknya berlaku jauh lebih awal, iaitu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada tahun 2008, kira kira 14 tahun sebelum UMNO bekerjasama dengan DAP.


"Tentang desakan untuk keluar kerajaan, pada saya itu urusan parti UMNO, biar mereka buat keputusan, mereka sangat matang dan berpengalaman.


"Tapi mengatakan sokongan orang Melayu akan pulih jika UMNO tinggalkan kerjasama dengan DAP, yang ni saya berbeza pandangan," katanya dalam satu muat naik di media sosial.


Menurut beliau, pandangan sokongan orang Melayu akan kembali sekiranya UMNO memutuskan hubungan dengan DAP adalah satu kesimpulan yang tidak matang dan tidak sejalan dengan realiti politik.


"Bila pula UMNO hilang sokongan orang Melayu kerana kerjasama dengan DAP?


"Sokongan orang Melayu terhadap UMNO mula merosot sejak PRU12 dan terus menurun dalam setiap PRU sehinggalah PRU15 pada 2022," jelasnya.


Tambah Dr Yusri, sepanjang tempoh kemerosotan itu, UMNO bukan sahaja tidak bekerjasama dengan DAP, malah berada dalam keadaan perseteruan politik yang ketara.


"Oleh sebab itu, dakwaan bahawa orang Melayu tidak menyokong UMNO kerana kerjasama dengan DAP pada saya adalah kurang berasas," tegasnya.


Mengulas prestasi UMNO selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, beliau berpandangan kerjasama politik sedia ada sebenarnya memberi kelebihan kepada parti itu, khususnya dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU15.


"Bahkan dalam siri siri PRK selepas PRU15, iaitu selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan kerjasama tersebut kelihatan lebih menguntungkan UMNO.


"Ini kerana jelas berlaku ayunan pengundi teras Pakatan Harapan (Melayu dan bukan Melayu) kepada UMNO apabila UMNO-BN bertanding.


"Walaupun dalam masa sama ayunan pengundi teras UMNO kepada PH hanya berlaku secara terbatas jika calon PH yang bertanding," katanya lagi.


Sejak kes Titah Adendum Najib Razak memanas terdapat suara suara nakal di luar dan dalam parti UMNO yang menggesa meninggalkan Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan semula sokongan Melayu.


Sedangkan pada PRU 2022 yang mencatat keputusan kurang memberansangkan, UMNO berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, yang mana Pas, parti utama Melayu turut menjadi sekutu mereka.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page