
Sokongan Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu tidak sebagaimana digambarkan oleh sesetengah penganalisis politik, kononnya serendah 19%.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian yang lebih terperinci telah dilakukan dan mendapati sokongan sebenar berada pada paras 31%.
"Andaian selama ini PH khususnyan tidak dapat dukungan masyarakat Melayu. Bila kita buat satu pasukan data sains yang membuat analisa awal, maka tidak benar kononnya PH mendapat dukungan 19% Melayu.
"Kalau 19% sokongan Melayu, tidak mungkin kita dapat mencatat kerusi sebagaimana dicatat dalam pilihanraya baru baru ini.
"Berdasarkan kajian yang lebih terperinci, secara keseluruhannya undi yang diperolehi ialah 31% pengundi Melayu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya, petang tadi.
Bagaimanapun menurut Anwar, terdapat kawasan yang mana peratusan pengundi kepada PH tinggi, begitu juga terdapat kawasan sebaliknya.
Kata beliau, negeri seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sokongan Melayu mencecah 50% manakala sokongan di Kelantan dan Terengganu agak rendah.
"(Namun) kalau dikumpul dengan kekuatan Kerajaan Perpaduan sekarang ini, komponen kanan seperti PH, BN, GPS dan GRS serta beberapa parti lain itu sudah mencecah 2/3 daripada keseluruhan undi dalam pilihanraya lalu.
"Kalau itu keadaannya maka kita yakin 2/3 Ahli Parlimen mewakili 2/3 pengundi dalam PRU lalu, kita dapat terus dengan yakin mengemudi negara ini sebagai satu pasukan mantap, menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara dari budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan," kata Anwar lagi.