Sokongan masyarakat India: Jangan ulangi kesilapan MIC - Prakash
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Masyarakat India kini mengangkat semula suara kolektif mereka apabila mengharapkan Kerajaan MADANI mendengar denyut nadi sebenar komuniti itu yang pernah melalui gelombang kekecewaan dan kebangkitan politik yang mengubah landskap pemeritahan negara.
Pengarah Strategi KEADILAN Johor, Prakash Maniam (gambar) berkata, selama lebih enam dekad masyarakat India di negara ini telah memainkan peranan penting dalam membangunkan negara termasuk di ladang, kilang, bilik darjah, hospital, perniagaan kecil dan industri baharu yang sedang berkembang.
Walaupun golongan tersebut merupakan antara kaum minoriti, Prakash menyifatkan komuniti itu konsisten menunjukkan kesetiaan, disiplin dan semangat kebangsaan yang mendalam.
"Namun kesetiaan ini (sokongan kepada MIC) kerap dibalas dengan pengabaian. Ramai masyarakat India merasakan bahawa walaupun mereka telah setia kepada negara, tetapi negara tidak sentiasa setia kepada mereka.
"MIC suatu ketika dahulu mengisytiharkan dirinya sebagai suara utama masyarakat India, disokong pengaruh besar sebuah kerajaan yang memiliki majoriti dua pertiga selama berdekad-dekad.
"Dengan kuasa sebegitu, parti tersebut mempunyai segala peluang untuk membawa perubahan sebenar, namun dari masa ke masa, realiti yang berbeza terserlah apabila kebimbangan masyarakat diketepikan, suara akar umbi diabaikan, wakil semakin lemah dan aspirasi tidak dipenuhi.
"Isu seperti akses pendidikan, peluang pekerjaan, perumahan, dokumentasi kewarganegaraan dan kemiskinan jangka panjang terus menjejaskan komuniti tanpa kemajuan yang ketara.
"Akibatnya masyarakat India tidak meninggalkan MIC kerana kemarahan mendadak, namun menarik sokongan selepas bertahun-tahun kecewa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Prakash lagi, di bawah pentadbiran MADANI hari ini, masyarakat India semakin bimbang sejarah akan berulang khususnya dengan usaha menghidupkan semula kebergantungan kepada MIC, sebuah parti yang telah ditolak secara tegas oleh komuniti itu.
Beliau mendakwa, sentimen di lapangan sangat jelas menggambarkan bahawa isu sebenar masih lambat ditangani, janji masih belum ditunaikan, libat urus terhad kepada perantara politik, bukan rakyat biasa serta kebimbangan berkaitan pendidikan, kebajikan, dokumentasi dan mobiliti ekonomi terus tidak diselesaikan.
"Jika kerajaan mengabaikan sentimen masyarakat India, ia berisiko mengulangi kesilapan MIC dengan menganggap sokongan komuniti wujud tanpa usaha meraihnya.
"Dalam persaingan pilihanraya yang sengit, undi India boleh dan pernah menentukan keputusan. MIC mempelajari hakikat ini dengan cara yang menyakitkan," ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Tebrau turut mengimbas kembali sokongan yang telah diberikan komuniti itu kepada KEADILAN sejak Pilihan Raya Umum 2008, apabila parti tersebut menawarkan janji politik baharu.
"Sebuah Malaysia di mana isu masyarakat India dianggap sebagai isu Malaysia, bukan sekadar selepas fikiran minoriti. Sokongan itu tidak diberi secara mudah, malah ia dibina atas harapan.
"Jika Kerajaan MADANI mahu menghormati kepercayaan ini, ia mesti mengakui penolakan jelas komuniti terhadap MIC, berinteraksi secara langsung dengan akar umbi dan menyampaikan penyelesaian yang nyata dan boleh diukur.
"Selain itu, Kerajaan MADANI juga perlu mengutamakan keikhlasan berbanding simbolisme politik dan bertindak dengan segera," katanya lagi.





