Sokongan atas PM bukti politik perubahan diterima rakyat
- Suara Keadilan
- Jun 29
- 2 min read

Sokongan popular meningkat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana dapatan agensi tinjauan pendapat Merdeka Centre baru baru ini merupakan bukti kukuh bahawa rakyat telah mula menerima politik perubahan yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan.
Menurut Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Rozana Zainal Abidin, penentangan dilihat semakin berkurangan terhadap pembaharuan tadbir urus sebagai mana yang 'dipanaskan' pembangkang sejak dua tahun lalu.
Katanya, rakyat Malaysia sesungguhnya beruntung mendapat seorang sosok Perdana Menteri yang sepanjang kehidupannya telah diuji dan terbukti ketabahannya menempuh onak dan duri. Sebagaimana kata ulama terkenal Indonesia, Hamka, bahawa seorang pemimpin bukan hadir dalam bilik kuliah tetapi lahir dari kancah pergelutan kehidupan masyarakat.
"Laporan hasil penyelidikan yang dibuat oleh Merdeka Centre (untuk Mei 2025), sebanyak 55% sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri adalah tanda dan bukti data aspirasi politik perubahan rakyat.

"Politik perubahan yang kita perjuangkan selama ini meliputi segenap aspek kehidupan masyarakat tidak kira orang besar ataupun orang kecil sekarang bukan lagi bukan sekadar slogan mahupun pidato semata-mata.
"Jika selama ini rakyat dihidangkan dengan pidato politik oleh Anwar Ibrahim tetapi kini kita menyaksikan bukti Anwar Ibrahim bekerja (merealisasikan janji), yakni Madani Bekerja," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Rozana menyeru agar rakyat Malaysia untuk terus menyokong dan mendukung kepimpinan PM Anwar bagi mengembalikan kegemilangan nagara ini di mata dunia sebagaimana yang pernah dinikmati pada era 1990an lalu.
"Mari kita sama-sama berganding bahu terus menyokong dan mendokong kepemimpinan Perdana Menteri dalam menerajui kerajaan Malaysia.
"Aspirasi rakyat adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilai-nilai moral seperti amanah dan terjaminnya keselamatan serta terlaksananya pemerintahan rule of law yang berintegriti.
"Kita yakin dan percaya kepemimpinan Malaysia Madani memberikan kesejahteraan sosial masyarakat secara inklusif dan menyeluruh," katanya lagi.
Merdeka Centre menerusi satu kajian yang dikeluarkan pada bulan ini memberi indikator bahawa rakyat mula merasakan negara berada pada landasan yang lebih kukuh di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
Selain sokongan terhadap perdana menteri meningkat kepada 55% berbanding 43% pada Jun lalu, penarafan kelulusan bagi kerajaan turut meningkat dari 40% kepada 50% dalam tempoh sama.
Comments