Sokong usaha perkukuh SPRM, jangan ganggu momentum banteras rasuah
- 2 minutes ago
- 2 min read

Perjuangan membanteras rasuah dan memperkukuh tadbir urus negara menuntut keteguhan prinsip serta kestabilan institusi, dan tidak boleh digerakkan melalui reaksi terburu-buru atau tekanan berasaskan sentimen semata-mata.
Ahli Dewan Negara, Abun Sui Anyit (gambar) berkata, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada waktu ini melaksanakan tanggungjawab tersebut dalam kerangka undang-undang, Perlembagaan Persekutuan serta agenda reformasi institusi yang berperingkat dan berterusan.
"Proses membaiki negara tidak boleh 'disederhanakan' kepada keputusan segera tanpa mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap keyakinan rakyat dan kestabilan institusi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki boleh dinilai sebagai baik kerana sedang melaksanakan tanggungjawab dengan tahap prestasi yang boleh dilihat secara objektif dan berfakta.
"Beberapa tindakan penguatkuasaan serta siasatan berprofil tinggi telah dilaksanakan, dan hasil kerja ini sedang diperhatikan serta dinilai oleh rakyat," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan atau lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah atas nasihat Perdana Menteri dan dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang serta prinsip Perlembagaan.
"Sehubungan itu, sebarang desakan untuk menyingkirkan individu yang sedang berfungsi dan menunjukkan prestasi, tanpa asas yang jelas dan kukuh, bukan sahaja tidak wajar malah berpotensi mengganggu momentum pembanterasan rasuah yang sedang berjalan," katanya.
Abun Sui berkata, lebih membimbangkan apabila desakan sedemikian dilihat timbul ketika SPRM giat membongkar kes-kes rasuah berskala besar yang melibatkan rangkaian sistemik sehingga ke nilai berbilion ringgit.
"Tindakan penguatkuasaan ini jelas menyentuh kepentingan tertentu, dan sebarang usaha untuk melemahkan institusi penguat kuasa melalui tekanan politik hanya akan merugikan negara dan rakyat," tegasnya.
Beliau menambah bahawa setiap jawatan mempunyai tempoh, had dan masa tersendiri, dan sebarang peralihan kepimpinan perlu dilakukan secara berhemah, tersusun serta berpaksikan kepentingan negara — bukan berdasarkan tekanan politik, sentimen emosi atau kepentingan peribadi.
"Saya menyeru agar semua pihak, khususnya mereka yang pernah bersama dalam perjuangan reformasi, memilih untuk memperkukuh usaha membaiki negara, bukannya melemahkannya dari dalam.
"Jika tidak mampu menyumbang dengan tenaga dan idea, cukuplah dengan memberi sokongan serta ruang kepada proses institusi yang sedang berjalan," katanya.
Tegas Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu, Malaysia hanya akan menjadi negara yang lebih bersih, adil dan berintegriti melalui kesatuan usaha, kematangan politik serta kepercayaan terhadap institusi, bukannya melalui perpecahan sesama sendiri.





