top of page

Diarah berpindah: Penduduk Kg Lee Kong Chian rayu campur tangan kerajaan

  • 32 minutes ago
  • 2 min read
Kg Lee Kong Chian bakal dibangun semula, peniaga diminta berpindah rayu campur tangan kerajaan
Kg Lee Kong Chian bakal dibangun semula, peniaga diminta berpindah rayu campur tangan kerajaan

Kampung Lee Kong Chian, yang dikenali sebagai kampung Cina terakhir seumpamanya di ibu negara, kini berdepan fasa peralihan kritikal susulan penjualan tanah seluas 19 ekar kepada pemaju swasta bagi tujuan pembangunan semula.


Dengan notis pemindahan yang telah dikeluarkan dan premis perniagaan dijangka perlu dikosongkan seawal 28 Februari ini, kepimpinan komuniti merayu campur tangan segera kerajaan bagi melindungi kebajikan penduduk yang terjejas.


Sejarah kampung itu bermula seawal 1927 sebagai kuarters pekerja loji pemprosesan Lee Rubber, sebelum berkembang menjadi pusat komuniti Cina penting di kawasan Wangsa Maju dan Setapak.


Dinamakan sempena tokoh dermawan terkemuka, Lee Kong Chian, petempatan tersebut kini berdepan risiko pelupusan sepenuhnya selepas hampir satu abad kewujudannya.


Aktivis komuniti yang juga mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Lai Chen Heng, melahirkan kebimbangan terhadap nasib penduduk, khususnya golongan rentan.


Lai Chen Heng
Lai Chen Heng

"Saya bersikap berkecuali dalam pertikaian undang-undang persendirian antara pemaju dan penduduk, namun kebajikan rakyat mesti menjadi keutamaan," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau memaklumkan seramai 44 keluarga telah dikategorikan sebagai miskin tegar oleh Persatuan Penduduk Kampung Lee Kong Chian, majoritinya terdiri daripada warga emas yang tidak mempunyai kemampuan untuk menyewa atau membeli kediaman baharu.


Di bawah pimpinan Ketua Kampung, Tan Lai Kee, jawatankuasa penduduk telah bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju Subzon 1 bagi mengemukakan permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR).


Bagi tujuan itu, satu pertemuan telah diatur pada 11 Februari bersama Pengarah Eksekutif Jabatan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin. Turut hadir ialah wakil MPP serta jawatankuasa kampung.


Menurut Lai, portfolio jabatan berkenaan amat penting kerana ia menyelia pengurusan dan pengagihan perumahan PPR.


"Saya merakamkan penghargaan kepada pihak DBKL atas kesediaan mengadakan perbincangan yang membina. Kami berharap musim Tahun Baru Cina kali ini akan membawa khabar gembira dan sinar harapan kepada penduduk yang memerlukan," katanya.


Sementara itu, Tan Lai Kee menyuarakan harapan agar permohonan PPR mendapat pertimbangan sewajarnya.


"Saya benar-benar berharap agar pihak DBKL dapat memberikan pengesahan positif mengenai permohonan ini. Dalam masa yang sama, kami masih berunding dengan pihak pemaju untuk pampasan yang lebih adil.


"Malah, kami merancang untuk mengadakan satu perhimpunan aman pada 8 Mac ini di luar kawasan kampung bagi menyuarakan isu ini," katanya.


Dialog bersama DBKL dilihat positif apabila pihak berkuasa memberi jaminan bahawa permohonan yang tulen dan mematuhi prosedur akan dipertimbangkan secara sewajarnya.


Selain itu, surat niat juga telah diserahkan kepada pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh serta Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan perhatian dan tindakan lanjut.


Lai menegaskan komitmennya untuk terus berkoordinasi dengan Datuk Bandar dan DBKL bagi memastikan keputusan yang adil dan memihak kepada penduduk dapat dicapai sebelum proses pengosongan dijadualkan bermula pada suku kedua tahun ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page