top of page

Projek ternak anak ikan patin KEADILAN Kuantan raih RM80,000 pulangan

  • 1 hour ago
  • 2 min read
Anak benih ikan patin ditangguk untuk dijual kepada pengusaha penternakan ikan patin di Pahang
Anak benih ikan patin ditangguk untuk dijual kepada pengusaha penternakan ikan patin di Pahang

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Kuantan terus aktif menggerakkan anggota serta ranting-ranting dalam pelaksanaan kebun komuniti dengan penglibatan NGO dan kepimpinan komuniti akar umbi.


Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, usaha tersebut digerakkan menerusi kerjasama dengan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM-SDG) di bawah Parlimen Malaysia sejak tahun 2022, bersama Ahli Parlimen Kuantan ketika itu Datuk Dr Fuziah Salleh.


Menurut beliau, antara projek komuniti yang menjadi ‘trade mark’ APPGM-SDG ialah pelaksanaan Kebun Komuniti, termasuk projek asuhan anak ikan patin di Kebun Komuniti Kampung Cherok Paloh dalam DUN Inderapura.


"Sebagai Koordinator Kebun Komuniti APPGM-SDG Pantai Timur bagi tahun 2024-2025, saya telah terlibat menjayakan 10 buah kebun komuniti di Parlimen Kuantan, termasuk projek asuhan anak ikan patin yang kini memberi impak positif kepada komuniti," katanya dalam satu kenyataan.


Projek yang dimulakan sejak Oktober 2024 itu berjaya menggalakkan penglibatan aktif komuniti Kampung Cherok Paloh dalam meningkatkan ekonomi peserta, khususnya dalam kalangan belia kampung, selain menyumbang kepada keterjaminan makanan.

Anak ikan patin mendapat permintaan tinggi
Anak ikan patin mendapat permintaan tinggi

Dengan modal RM40,000 bagi fasa pertama, sebanyak tiga kolam kanvas dibangunkan untuk membesarkan anak ikan patin bersaiz satu inci kepada empat hingga lima inci dalam tempoh 30 hari, sebelum dijual kepada pengusaha ternakan ikan patin sangkar sungai sekitar Pahang.


"Pada fasa pertama, sebanyak 200,000 anak ikan patin berjaya dibesarkan melalui lima pusingan dan dijual dengan pulangan RM80,000 yang diagihkan kepada peserta," jelas Fakhrul.


Kejayaan tersebut membolehkan projek itu dipilih ke fasa kedua dengan penambahan lima kolam menjadikan keseluruhan lapan kolam. Pada 3 Februari 2026 lalu, projek berkenaan sekali lagi berjaya membesarkan 90,000 ekor anak ikan patin untuk dijual kepada pengusaha ternakan ikan patin sangkar Sungai Pahang di daerah Pekan.


Fakhrul berkata, projek asuhan anak ikan patin kolam kanvas itu akan diperluaskan selepas terbukti mampan dan memberi pulangan baik kepada komuniti.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada APPGM-SDG atas kepercayaan dan sokongan dalam menjayakan projek tersebut.


Bagi tahun 2026, beliau memaklumkan sebanyak 15 komuniti di tiga Parlimen iaitu Kuantan, Pekan dan Paya Besar telah menyatakan minat untuk melaksanakan projek sama.


"Saya kini dalam perbincangan dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Perikanan Negeri Pahang dan ICU Jabatan Perdana Menteri untuk memohon Geran Sejati Madani bagi membantu komuniti yang berminat.


"Matlamat kita jelas, memperkasa ekonomi rakyat melalui model kebun komuniti yang mampan dan berimpak tinggi," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page