top of page

Sambut baik tubuh jawatankuasa khas siasat isu pemilikan saham KP SPRM

  • 2 hours ago
  • 2 min read

Penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan seperti yang diumumkan Pejabat Ketua Setiausaha Negara berhubung isu pemilikan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disambut baik Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young.


Menurut beliau, langkah tersebut mencerminkan komitmen jelas Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap isu yang menimbulkan persoalan awam ditangani secara serius, profesional dan bertanggungjawab.


"Penubuhan jawatankuasa ini membuktikan kerajaan menghormati prinsip ketelusan serta keperluan memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas dan adil.

David Cheong Kian Young
David Cheong Kian Young

"Saya percaya siasatan yang adil dan telus adalah asas penting dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


David berkata, rakyat berhak mendapat kepastian bahawa setiap dakwaan akan disiasat secara menyeluruh tanpa sebarang campur tangan atau prejudis.


Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa proses siasatan perlu diberi ruang untuk berjalan mengikut saluran undang-undang yang betul.


"Kita perlu memahami bahawa selagi seseorang individu belum dijatuhi hukuman melalui proses undang-undang yang sah, maka adalah tidak adil untuk menganggap individu tersebut bersalah.


"Prinsip ini adalah asas kepada keadilan dan kedaulatan undang-undang dalam sistem demokrasi. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan persepsi, andaian atau tekanan daripada mana-mana pihak," ujarnya.


Beliau turut mengingatkan bahawa dalam era media sosial, maklumat boleh tersebar dengan pantas dan kadangkala tidak lengkap atau tidak disahkan.


"Semua pihak perlu bertanggungjawab dalam menyampaikan dan berkongsi maklumat agar tidak menjejaskan integriti siasatan. Elakkan sebarang bentuk spekulasi yang boleh mengganggu proses mencari kebenaran," katanya.


David menyatakan keyakinan bahawa jawatankuasa khas yang ditubuhkan mempunyai keupayaan serta integriti untuk melaksanakan siasatan secara profesional dan saksama.


"Hasil siasatan nanti harus dihormati dan diterima sebagai sebahagian daripada proses keadilan yang telus. Ini penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan institusi negara terus kukuh.


"Saya menyeru semua pihak agar menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab tanpa tekanan atau prejudis.


"Hanya melalui proses yang adil dan telus, keadilan dapat ditegakkan dan kepercayaan rakyat dapat terus dipelihara," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page