Sokong usaha KPM perkukuh keselamatan di Sekolah - Wanita KEADILAN Sarawak
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Sarawak menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berterusan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan harmoni untuk semua pelajar.
Mengulas mengenai 10 langkah komprehensif diumumkan KPM bagi memperkukuh keselamatan sekolah serta menangani isu disiplin murid, mereka menyifatkan inisiatif itu sebagai bukti keprihatinan kementerian dalam memastikan sekolah menjadi persekitaran yang selamat, harmoni dan berdisiplin untuk semua pelajar.
"Wanita KEADILAN Sarawak amat menghargai kepimpinan berjiwa rakyat yang ditunjukkan oleh Menteri Pendidikan.
"Pendekatan yang diambil bukan sahaja menitikberatkan keselamatan fizikal, tetapi turut memberi fokus kepada kesejahteraan mental, emosi dan psikososial murid serta warga pendidik," kata kenyataan itu.
Tambahnya, pendekatan bersepadu yang digerakkan KPM itu mencerminkan nilai-nilai Pendidikan MADANI berteraskan kasih sayang, ihsan, hormat dan tanggungjawab bersama selaras dengan aspirasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk masyarakat penyayang dan berakhlak.
"Kami percaya, usaha holistik ini akan memberi impak besar dalam membentuk budaya sekolah yang positif," katanya.
Antara langkah berimpak tinggi yang diumumkan termasuk peruntukan RM5 juta bagi pemasangan tambahan kamera litar tertutup (CCTV), penempatan lebih 10,000 guru baharu termasuk 500 guru kaunseling, serta pengukuhan kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu disiplin secara menyeluruh.
"Usaha holistik ini diyakini mampu membentuk budaya sekolah yang positif dan selamat. Wanita KEADILAN Sarawak turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru serta komuniti setempat untuk bersama mendukung pelaksanaan strategi ini demi masa depan anak-anak kita," tambah kenyataan itu.









Comments