Sokong titah Sultan Selangor, rakyat perkukuh perpaduan - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengajak umat Islam mensyukuri nikmat Aidilfitri serta memperkukuh ukhuwah dan perpaduan dalam masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar), berkata pihaknya menjunjung kasih atas titah tersebut yang disifatkan sebagai panduan penting dalam memperkukuh keharmonian negara.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung kasih dan menyokong titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mengajak umat Islam mensyukuri nikmat Aidilfitri serta memperkukuhkan ukhuwah dan perpaduan," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pihaknya turut mengambil maklum peringatan Baginda terhadap perkembangan global semasa yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan ummah.
"Sehubungan itu, rakyat diseru agar bersedia menghadapi ketidaktentuan dengan berbelanja secara berhemah dan merancang kewangan dengan bijaksana," ujarnya.
Beliau turut mengajak rakyat untuk mengambil semangat Ramadan dan Aidilfitri sebagai asas memperkukuh kesatuan serta mengelakkan sebarang perbalahan dalam masyarakat.
"Mengambil semangat Ramadan dan Aidilfitri 2026, marilah kita memelihara kesatuan, mengelakkan perbalahan serta bersama-sama memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memakmurkan negara," katanya lagi.




Comments