top of page

Sokong pindaan Akta 333, pesalah kemalangan wajib bayar pampasan - Dr Zulkifli

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Jul 19
2 min read

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang akan mewajibkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris mereka.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, keputusan Jemaah Menteri itu merupakan langkah tepat bagi memastikan pesalah, khususnya pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap kesalahan mereka.


"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan.


"Pesalah jalan raya, terutamanya pemandu mabuk dan khayal dadah, tidak boleh dibiarkan terlepas sekadar dengan hukuman penjara dan denda, sebaliknya wajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya secara kewangan demi membela nasib waris mangsa," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, cadangan pindaan itu selaras dengan usaha yang sedang dilaksanakan oleh JPM (Hal Ehwal Agama) bagi meneliti mekanisme pelaksanaan konsep diyat atau pampasan berasaskan Syariah.


"Langkah perundangan ini amat selari dengan usaha yang sedang JPM (Hal Ehwal Agama) gerakkan dalam meneliti pelaksanaan mekanisme 'diyat' (pampasan berasaskan Syariah) bersama barisan mufti dan pakar perundangan sejak 11 Februari lalu," ujarnya.


Dr Zulkifli berkata, pihaknya bersedia memberikan kepakaran bagi memastikan mekanisme pampasan yang bakal digubal bersifat adil, menyeluruh dan mampu melindungi hak mangsa.


"Pihak kami sedia menyumbang kepakaran bagi memastikan penggubalan mekanisme pampasan mahkamah ini bersifat adil, kalis kelompangan (loophole), dan mampu memberikan perlindungan hak kepada keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung," katanya.


Beliau menegaskan kemalangan maut akibat kecuaian melampau seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah merupakan jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan.


Tambah Zulkifli, pindaan yang mewajibkan pembayaran pampasan itu akan menjadi mesej jelas bahawa undang-undang tidak lagi bertolak ansur terhadap pesalah yang menyebabkan kehilangan nyawa di jalan raya.


"Pindaan mandatori ini menjadi amaran keras bahawa undang-undang tidak lagi akan bertoleransi dengan pembunuh di jalan raya, sekali gus memastikan keadilan buat mangsa ditegakkan dengan pantas tanpa perlu melalui proses sivil yang berlarutan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page