Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk kemerdekaan tanah air mereka daripada penjajahan Zionis Israel.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata demikian berhubung konflik terbaharu kedua dua negara selepas serangan mengejut Hamas ke atas tentera Israel di Semenanjung Gaza semalam.
Menurut Faisal, serangan tersebut tidak dapat dielakkan akibat kezaliman dan penjajahan berterusan Rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, terutama pencerobohan tempat suci orang Islam, Masjid al Aqsa.
"Oleh itu, ABIM menggesa seluruh warga dunia konsisten mendukung perjuangan rakyat (Palestin) yang mendambakan kebebasan dan kemerdekaan tanah air mereka.
"Dalam perkembangan berkaitan, ABIM menggesa agar seluruh pihak menghormati batas kemanusiaan khususnya dalam memelihara rakyat awam yang terdiri dari wanita, kanak-kanak, dan orang tua di wilayah bergolak berkenaan," katanya dalam kenyataan.
ABIM juga, kata Faisal, mahu pergolakan tersebut segera ditangani oleh Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu bagi mengelak perang besar antara Israel dan Palestin tercetus dan tentunya akan mengorbankan ribuan nyawa orang awam.
"Bagi menamatkan pergolakan ini, ABIM menegaskan seluruh pihak khususnya Majlis Keselamatan PBB harus bertindak segera menghentikan penjajahan zionis Israel ke atas wilayah Palestin," katanya lagi.
Konflik terbaharu antara Israel dan Palestin tercetus semalam apabila sayap bersenjata Hamas melakukan serangan mengejut, meluncurkan 5,000 roket dan menawan beberapa bandar di Israel serta menjadikan kira kira 30 - 40 tentera Yahudi sebagai tebusan bagi rundingan pertukaran tahanan pada masa hadapan.
Serangan Hamas setakat ini telah membunuh lebih 200 warga Israel sama ada tentera mahu pun orang awam. Sementara di pihak Palestin jumlah kematian dilaporkan hampir sama apabila tentera Israel mengebom bangunan bangunan yang mempunyai kaitan dengan Hamas di Gaza.
Comments