Sokong pendirian tegas PM hentikan keganasan di Sudan - Dr Maszlee
- Suara Keadilan
- 9 minutes ago
- 1 min read

Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru agar keganasan di Sudan dihentikan serta-merta dan memastikan perlindungan sepenuhnya terhadap orang awam di negara itu.
Menurut Pengerusinya, Dr Maszlee Malik (gambar), KEADILAN menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap laporan yang menunjukkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai, kebuluran, pemindahan penduduk secara paksa serta pelanggaran serius hak asasi manusia di wilayah Darfur dan kawasan lain di Sudan.
"Konflik yang berlarutan sejak April 2023 telah meragut lebih 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta pelarian.
"Rakyat di Sudan berhak mendapat keadilan dan hidup dalam keamanan tanpa ancaman keganasan yang berpanjangan," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, kata Dr Maszlee, KEADILAN menyeru pemimpin dunia agar bersatu dalam bersuara dan mengecam sekeras kerasnya kekejaman yang berlaku serta memberikan tekanan diplomatik yang berterusan agar perang berkenaan dihentikan.
"KEADILAN sekali lagi menzahirkan solidariti terhadap mangsa krisis Sudan dan menggesa agar usaha diplomasi, tindakan kemanusiaan serta inisiatif pembinaan keamanan jangka panjang diteruskan," tambahnya.
Semalam, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa agar pertempuran di Sudan dihentikan, sambil memberi amaran bahawa krisis tersebut semakin meruncing selepas kumpulan separa tentera menguasai sebuah bandar penting.
Guterres menggesa pihak-pihak yang bertelagah supaya 'kembali ke meja rundingan dan akhiri mimpi ngeri keganasan'
Pada akhir Oktober lalu, kumpulan Rapid Support Forces (RSF) yang berperang dengan tentera Sudan sejak 2023, menawan bandar strategik El-Fasher selepas mengepungnya selama 18 bulan.
Laporan menyebut berlaku pembunuhan, keganasan seksual, rompakan, serangan ke atas pekerja bantuan dan penculikan di dalam dan sekitar El-Fasher, di mana komunikasi banyak terputus.





