Sokong Pas bukan jaminan ke syurga – Ustaz Fakhrulrazi
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 3 min read

Sebarang dakwaan menggambarkan bahawa masuk Pas atau menyokong parti itu menjadi tiket untuk seseorang memasuki syurga perlu dibantah sekeras kerasnya.
Bagi mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar, soal syurga dan neraka merupakan hak mutlak Allah SWT manakala menyokong parti tertentu dalam pilihanraya merupakan tanggungjawab dalam memilih pemimpin.
"Syurga bukan hak milik mana-mana parti politik. Penentuan seseorang masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT. Undi dalam pilihanraya pula tanggungjawab politik rakyat untuk memilih pemimpin yang dianggap terbaik, bukannya jaminan keselamatan akhirat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fakhrulrazi berkata, sekiranya terdapat kenyataan yang membawa maksud “sokong Pas masuk syurga”, perkara itu perlu diperjelaskan segera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta memastikan agama tidak dijadikan alat meraih sokongan politik.
Menurutnya, umat Islam sepatutnya membuat pilihan berdasarkan amanah, keadilan, kemampuan, integriti dan kebaikan kepada rakyat, bukannya kerana dijanjikan ganjaran syurga oleh mana-mana parti politik.
Beliau yang juga merupakan bekas Pemuda Pas suatu ketika dahulu berkata, rakyat berhak menilai setiap parti berdasarkan prestasi, dasar, integriti dan kemampuan memerintah tanpa mengaitkan pilihan politik dengan tahap keimanan seseorang.
Katanya, penggunaan retorik agama dalam politik boleh mewujudkan persepsi bahawa memilih parti tertentu merupakan tanda lebih Islam, manakala memilih parti lain seolah-olah menunjukkan seseorang kurang beriman.
"Ini adalah satu perkembangan yang sangat berbahaya kepada pemikiran politik umat Islam," katanya.
Fakhrulrazi turut mengingatkan agar perbezaan pilihan politik tidak dijadikan alasan untuk umat Islam saling bermusuhan, melabel, menghukum atau memandang rendah antara satu sama lain.
Dalam pada itu, beliau berkata, parti yang memperjuangkan Islam sepatutnya berada di barisan hadapan dalam perjuangan menolak rasuah dan salah guna kuasa.
"Jika benar mahu menegakkan amar makruf nahi mungkar, pendirian terhadap rasuah mestilah konsisten. Siapa pun pelakunya, daripada parti mana sekalipun," katanya.
Beliau turut mempersoalkan sikap 'parti Islam' yang lantang apabila kesalahan dilakukan oleh lawan politik tetapi menjadi perlahan atau berdiam diri apabila kesalahan dilakukan pihak sendiri atau rakan sekutu.
"Rakyat berhak bertanya Mengapa begitu lantang apabila kesalahan dilakukan oleh lawan, tetapi apabila timbul persoalan terhadap pihak sendiri, suara menjadi perlahan atau terus berdiam diri?
"Persoalan seperti ini bukan serangan terhadap Islam. Ini adalah hak rakyat untuk menilai pemimpin dan parti politik," katanya.
Fakhrulrazi menegaskan bahawa kritikan terhadap Pas tidak seharusnya dianggap sebagai kritikan terhadap Islam, begitu juga sokongan kepada Pas tidak boleh ditafsirkan sebagai jaminan seseorang akan memasuki syurga.
Beliau berkata, mempolitikkan agama yang mengaitkan pilihanraya dengan persoalan iman dan aqidah berpotensi memburukkan perpecahan sesama umat Islam serta menanam prasangka dalam masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berwajib, ulama, pendidik dan semua pihak yang bertanggungjawab terhadap keharmonian negara supaya memberi perhatian serius terhadap sebarang bentuk naratif politik agama yang boleh mencetuskan perpecahan dan kekeliruan.
"Rakyat mesti diberikan kebebasan untuk memilih berdasarkan akal, hati nurani, fakta, rekod, integriti dan kemampuan seseorang pemimpin. Jangan kerana seseorang membawa label agama, maka dia dianggap tidak boleh dikritik," katanya.
Beliau berkata, dalam Islam pemimpin tetap manusia biasa yang boleh ditegur, dipersoal dan dipertanggungjawabkan, manakala syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT.
"Jangan tunggang agama untuk mengejar kuasa, gunakan syurga untuk membeli undi. Dan jangan jadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk memecah-belahkan umat," katanya lagi.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ceramah Sambutan Jubli Intan 75 tahun Pas di Kota Bharu malam tadi berkata, seseorang memang akan dapat masuk syurga melalui perjuangan dibawa parti berkenaan.
Walaupun mengakui Pas ialah sekadar sebuah pertubuhan politik, beliau menegaskan wadah perjuangan mereka berteraskan Islam.
"Kalau kita mati kerana berjuang mempertahankan Islam, tidak ada syak lagi, kita akan dianggap mati syahid dan kita akan diberikan ganjaran pahala, dan kita akan masuk syurga.
"Jadi dia (pihak lawan) kata pula (menyindir), masuk Pas ni masuk syurga…Yalah, masuk Pas (dan) terima Islam, berjuang di atas landasan Islam, nakkan Islam sama ada di dunia ataupun di akhirat.
"Masuk Pas cara itu, insya-Allah kita boleh masuk syurga," katanya dipetik.




Comments