top of page

Sokong Palestin: Ahli Parlimen Malaysia lawat sempadan Mesir-Rafah



Delegasi Malaysia membabitkan Ahli-ahli Parlimen mengadakan lawatan khas ke sempadan Mesir-Rafah bagi menunjukkan sokongan penuh dalam isu Palestin ketika negara ini menyertai prosiding permintaan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kesan dasar pendudukan Israel.


Lawatan bermula semalam hingga Sabtu diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin bersama Ketua Kaukus Palestin di Parlimen Syed Ibrahim Syed Noh yang juga Ahli Parlimen Ledang dari KEADILAN, Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) dan Senator Datuk Wira Dr Mohd Hattta Md Ramli (AMANAH).


"Lawatan khas ini bertujuan untuk mempamerkan sokongan penuh Malaysia terhadap isu Palestin. Delegasi akan mengambil peluang membuat lawatan ke lintasan Rafah-Gaza di mana bekalan kecemasan dan bantuan kemanusiaan daripada Malaysia disalurkan ke Gaza dengan kerjasama rapat bersama Kerajaan Mesir dan Ops Ihsan," menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.


Kenyataan itu berkata antara program lain dalam lawatan itu termasuk kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Luar Negeri Mesir, Hamdi Loza, pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) Dr Rami Al Nazer dan lawatan ke hospital seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).


"Intipati perbincangan adalah mengenai kerjasama Malaysia untuk membantu rakyat Palestin di Gaza termasuk yang memerlukan rawatan perubatan di Mesir," ujarnya.


Sempena lawatan itu, turut diadakan acara simbolik penyerahan sumbangan rakyat Malaysia akan diberikan kepada ERC dan PRCS dengan masing-masing berjumlah AS$250,000 dan AS$500,000.


Sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai RM5.6 juta (AS$1.2 juta) telah tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada November dan Disember lalu.

Barangan yang dihantar merangkumi ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan dan bekalan musim sejuk seperti selimut, khemah dan pakaian.


Bantuan kemanusiaan ini berjaya dilaksanakan dengan sumbangan rakyat Malaysia kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page