top of page

Sokong bersyarat pelan damai, M'sia tidak diundang ke Sidang Kemuncak Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 15
  • 2 min read
ree

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan ketidakhadiran Malaysia ke Sidang Kemuncak Gaza di Sharm al-Sheikh, Mesir kerana prinsip negara ini yang berpaksikan pendirian tegas mempertahankan hak dan kedaulatan rakyat Palestin.


Menurut beliau, Malaysia tidak diundang ke sidang tersebut kerana enggan memberikan dukungan tanpa syarat terhadap Pelan Damai 22 perkara yang dikemukakan Amerika Syarikat, memandangkan pelan itu tidak menyentuh persoalan asas hak rakyat Palestin dan penamatan pendudukan rejim Zionis Israel.


"Syarat kita jelas yakni ia mesti bersifat ‘comprehensive solution’, yang tentunya mencakup persoalan membawa pulang warga Palestin yang terusir, mengiktiraf hak Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat, serta menamatkan sepenuhnya penjajahan dan kezaliman rejim Zionis Israel di Tebing Barat," katanya dalam satu kenyataan.


Anwar berkata, setelah diteliti, pelan 22 perkara tersebut tidak menyentuh langsung isu hak rakyat Palestin, kedaulatan negara mereka dan instrumen pendudukan yang masih berterusan, justeru Malaysia tidak tergamak untuk mendukung sesuatu yang mengabaikan prinsip asas kemanusiaan itu.


"Pendirian dan kenyataan saya serta Menteri Luar disampaikan dengan jelas, Malaysia mendukung dengan ‘reservation’, bukan membuta tuli," tegasnya.


Bagaimanapun, katanya, sokongan bersyarat Malaysia terhadap sebarang pelan damai berkenaan bertujuan mendesak penghentian segera terhadap pembantaian, kemusnahan harta benda dan penderitaan rakyat Gaza, terutamanya wanita dan kanak-kanak.


"Saat Gaza kebuluran dan dunia bungkam, sebarang ruang mendesak yang dapat segera menghentikan kezaliman mesti kita manfaatkan, selagi tidak menggadai prinsip dan maruah," ujarnya.


Namun Anwar menegaskan, ketidakhadiran Malaysia di Sharm al-Sheikh bukan tanda menjauh, sebaliknya manifestasi pendirian nasional yang berani dan berprinsip.


"Diplomasi bagi kita adalah wahana menjulang nilai kemanusiaan dan hak bangsa tertindas, tidak sekadar upacara atau tuntutan protokol semata," katanya lagi.


Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia akan terus berunding melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan rakan antarabangsa seperti Jepun, Turkiye, Qatar dan Arab Saudi untuk menyalurkan bantuan serta merencana pemulihan Gaza, termasuk membina semula sekolah, hospital, rumah dan infrastruktur asas lain selepas tamatnya penderitaan perang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page