top of page

Soal nama dan bilangan sokongan MP antara saya dan Agong - Anwar


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan beberapa pihak yang menggesanya supaya mendedahkan bilangan dan nama ahli parlimen yang menyokong beliau sebagai perdana menteri merupakan satu tekanan politik semata-mata.


Malah, rata-rata 6 laporan polis yang dibuat menjurus kepada perihal nama dan bilangan ahli parlimen yang menyokong beliau.


"Saya beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam semua siasatan ini. Yang diminta mereka adalah nama ahli parlimen.


"Saya beritahu saya sudah bagi surat pengesahan dari presiden parti masing-masing dengan mewakili nama masing-masing.


"Justeru, urusan ini adalah urusan saya untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan urusan polis atau orang politik atau menteri dalam negeri yang mengerahkan pihak polis untuk mengetahui nama tersebut," katanya.


Anwar berkata demikian selepas selesai memberikan keterangan di unit Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama peguamnya, Ramkarpal Singh.


Dalam 6 laporan polis tersebut, ada antaranya dibuat oleh ahli UMNO, Armada Bersatu dan individu-individu tertentu.


Ramkarpal berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.


"Yang pelik kenapa semua 6 laporan disiasat tergesa-gesa seperti ini, sangat aneh.


"Semua laporan disiasat dengan sekali gus, biasanya ia akan mengambil masa, pelik mengapa ia disegerakan," katanya.


Anwar turut meluahkan rasa terkilan terhadap kesungguhan pihak tertentu yang mahu mengetahui bilangan dan nama ahli parlimen yang menyokong beliau.


"Ini satu perkara yang amat membimbangkan dan menghairankan mengapa nombor 121 dan bilangan ahli parlimen menjadi fokus.


"Saya beri kerjasama penuh tetapi isu ini sudah dipersembahkan oleh presiden parti yang membuktikan bahawa kami mempunyai lebih dari 121 ahli parlimen. Saya bukan berada di sini untuk tunduk kepada kuasa politik dengan memberikan nama yang terlibat.


"Ini bukan urusan mereka, ini urusan saya dan Agong. Ini hanya satu rencana politik untuk menekan saya dalam saat-saat genting. Apa yang polis tanya pun menjurus kepada politik, bilangan ahli parlimen dan pertemuan dengan Agong," katanya.


Namun, Anwar bertegas bahawa beliau tidak akan mendedahkan nama dan bilangan sebenar ahli parlimen yang menyokong beliau selagi belum tiba masanya.


"Ini antara saya dan Agong, tidak munasabah untuk mengetahui dengan terperinci apa yang berlaku antara saya dan Agong.


"Saya beri kerjasama penuh, pihak polis pun berpuas hati dengan keterangan saya. Ini tindakan licik, campur tangan politik, malah penyalagunaan kuasa politik kepada polis dengan mempersoalkan isu seperti nama dan bilangan ahli parlimen.


"Ini bukan urusan mana-mana pihak lain, ini adalah tugas saya sebagai ahli parlimen untuk mempersembahkannya kepada Agong," katanya.


Anwar juga menafikan beliau gagal mempersembahkan bilangan dan nama ahli parlimen yang menyokong beliau.


"Saya tidak pernah kata saya persembahkan nombor atau nama seluruh ahli parlimen yang menyokong saya.


"Kalau ingat balik kenyataan saya, saya persembahkan surat dan dokumen bukan nama. Apa yang dipersembahkan adalah sokongan dari ahli parlimen KEADILAN. Saya sebagai presiden KEADILAN mempersembahkan 38 ahli parlimen KEADILAN dan mereka memberi sokongan penuh kepada saya.


"Soal bila nama dan bilangan akan diumumkan, setakat ini perkara ini belum berbangkit tapi sedang diuruskan," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page