top of page

Slip berlogo BN ditemui dalam bilik mengundi di SK Rompin

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Aug 1
2 min read
 Risalah jentera kempen berlogo BN ditemui dalam bilik mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rompin
 Risalah jentera kempen berlogo BN ditemui dalam bilik mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rompin

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin mendakwa menemui slip maklumat pengundi berlogo Barisan Nasional (BN) di dalam bilik mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rompin pagi ini.


Beliau turut mendakwa risalah jentera kempen berlogo BN ditemui di lokasi berkenaan.


Menurut Manivanan, ejen tempat mengundi dan mengira undi (PACA) PH tidak menyedari kewujudan bahan berkenaan, manakala Ketua Tempat Mengundi (KTM) didakwa cuba menyembunyikan slip tersebut ketika beliau tiba di pusat mengundi.


"Dalam bilik mengundi di Sekolah Kebangsaan Rompin. PACA kita tidak perasan. KTM cuba menyoroknya apabila saya tiba," katanya menerusi mesej WhatsApp kepada kumpulan media.


Slip yang dikongsi Manivanan mengandungi nama pengundi berserta butiran lengkap yang dipercayai diperoleh daripada sistem semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selain memaparkan perkataan dan lambang BN.


Terdahulu, Manivanan meninjau proses pengundian dan beramah mesra dengan pengundi di Dewan New Rompin, Ladang Bukit Pilah.


Beliau kemudian melawat beberapa pusat mengundi lain termasuk SJKT Ladang Kelpin, SJKT Ladang St Helier, SJKT Ladang Bahau dan SJKC Middleton.


Penemuan bahan berlogo parti di kawasan mengundi itu menjadi perhatian kerana SPR melarang sebarang barangan yang memaparkan nama calon, simbol, lambang atau logo parti politik dibawa, dipakai atau digunakan di dalam pusat mengundi atau dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi, selaras dengan Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Larangan berkenaan merangkumi pakaian dan aksesori seperti baju, topi, kopiah serta pelitup muka berlogo parti, selain bahan kempen termasuk risalah, poster, bendera, lencana, payung dan beg.


Peraturan itu bertujuan memastikan kawasan tempat mengundi kekal berkecuali serta bebas daripada pengaruh politik dan kempen saat akhir pada hari pengundian, selain menjaga ketenteraman di pusat mengundi.


Dalam pada itu, Manivanan merakamkan penghargaan kepada petugas pilihan raya dan pengundi yang menunaikan tanggungjawab masing-masing.


"Terima kasih kepada semua petugas yang bertugas dengan penuh dedikasi dan kepada para pengundi yang keluar mengundi demi masa depan Jeram Padang," katanya.


Manivanan berdepan saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, dengan 16,590 pengundi berdaftar di DUN Jeram Padang.


Beliau berdepan calon BN, Bersatu dan ASLI.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page