Pandemik Covid 19 menyebabkan sejumlah rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik dihimpit kemiskinan.
Menyedari banyak pihak terjejas Skuad KEADILAN di bawah pimpinan Gary Muthu (gambar, kanan) telah menganjurkan siri bantuan prihatin kepada keluarga fakir dan asnaf.
Menurut Ahli Majlis Bandaraya Seremban itu, sejak setahun lalu Skuad KEADILAN tidak pernah berhenti mengaturkan penghantaran sumbangan barangan dapur dan barang keperluan harian kepada keluarga miskin tanpa mengira bangsa di seluruh negara.
“Baru-baru ini, banyak industri dan pengusaha menutup operasi di Malaysia, menyebabkan ramai warga kota kehilangan kerja. Beban kami semakin berat, namun kami juga mendapat banyak sumbangan daripada penderma di seluruh negara,” katanya.
Sehubungan itu, baru-baru ini beliau mendapat tajaan sumbangan daripada seorang pengusaha yang menderma 40 set alat permainan jenama HotWheels untuk kanak-kanak untuk diberikan kepada keluarga B40.
Manakala di Kuala Lumpur, pelbagai aktiviti sumbangan dijalankan oleh Skuad KEADILAN seperti program penyahkuman awam dan program pendaftaran vaksinasi kepada golongan miskin bandar.
Di sana, Pengarah Komunikasi KEADILAN Wilayah Persekutuan yang juga Timbalan Pengerusi Skuad KEADILAN, Saiful Mansur sentiasa memastikan ahli skuad aktif menyumbangkan bantuan, khususnya di kawasan Cheras dan Wangsa Maju.
Memandangkan darurat yang akan diteruskan sehingga Ogos 2021, Gary berharap usaha sumbangan ini diteruskan selagi ada kemampuan.
Comments