Skuad bersama PEMADAM, AADK perangi dadah di Betong
- Redzuan Shamsudin

- Nov 11, 2023
- 1 min read

Tindakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama Skuad Anti Dadah Daerah Betong, Sarawak secara berterusan menjalankan aktiviti "walking massage" di Pekan Debak baru baru ini merupakan usaha yang baik dan disokong masyarakat setempat.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, oleh kerana aktiviti pengedaran dadah tidak lagi memilih tempat atau berpusat sebagaimana pada 1980an lalu, maka aktiviti untuk mencegah penyalahgunaan dadah juga perlu lebih pelbagai dan menggunakan pendekatan baharu.
"Walaupun statistik menunjukkan masalah dadah menurun, masyarakat tidak boleh memandang mudah kerana pengedar yang mengejar kekayaan dan kemewahan tetap akan mencari peluang.
"Masyarakat kampung menjadi mangsa, keluarga berpecah belah. Kes kecurian dan pecah rumah meningkat. Malah terdapat juga beberapa kes membunuh diri.
"Kuatkuasa undang undang kita lihat tidak mampu mengekang sepenuhnya masalah dadah. Justeru, masyarakat harus bangkit bersama untuk membantu (kerajaan)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Abang Zulkifli lagi, pendidikan atau ceramah anti dadah seharusnya lebih giat dianjurkan di sekolah sekolah dan dalam kalangan lepasan sekolah.
Selain itu, katanya persatuan atau NGO anti dadah perlu diaktifkan di setiap daerah dan kampung bagi mengekang penyalahgunaan dadah pada peringkat awal.
"Saya menyarankan supaya Persatuan Bukan Kerajaan seperti PEMADAM di aktifkan di semua daerah dan kampung.
"Di samping itu AADK dan PEMADAM disaran menubuh skuad bersama untuk terus beraktiviti mengekang masalah sosial yang berpunca dari penyalahgunaan dadah," katanya lagi.
Tegas Abang Zulkifli, sumbangan para belia dalam pembangunan dan produktiviti negara amat bergantung kepada tenaga muda yang bebas dadah.
Justeru untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dadah, pihak Kerajaan harus memberi galakan dan bantuan kewangan kepada semua pihak terutama NGO dalam menjalankan aktiviti sihat seperti sukan, dialog ekonomi, kebudayaan dan lain lain.









Comments