top of page

SKMM sokong penuh tiada caj tambahan perkhidmatan 5G

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jan 12, 2024
1 min read


Oleh: Azuan Ab Rahman


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyokong penuh komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih tidak mengenakan caj tambahan bagi akses kepada rangkaian 5G.


SKMM berkata, pengumuman berhubung perkara itu oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Selasa lepas adalah selari dengan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan akses teknologi telekomunikasi canggih yang adil dan saksama buat seluruh rakyat Malaysia.


"SKMM menyokong penuh komitmen kerajaan dan akan memastikan setiap penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih mematuhi komitmen yang sudah dinyatakan," kata suruhanjaya itu melalui satu kenyataan.


Selasa lalu, Fahmi pada satu sidang media selepas sesi ujian kualiti perkhidmatan selular (panggilan suara) dari Kuala Lumpur ke Putrajaya mengumumkan tiada bayaran tambahan akan dikenakan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna untuk mendapatkan akses rangkaian 5G.


Sementara itu SKMM berkata, sekiranya terdapat aduan berhubung caj akses 5G, pengguna boleh menyalurkannya menerusi Portal Pengguna MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my atau hubungi talian 1-800-188-030.


Melalui kenyataan sama suruhanjaya itu menegaskan, pihaknya akan memastikan setiap penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih mematuhi komitmen yang telah dinyatakan.


Suruhanjaya itu memaklumkan setakat 31 Dis lepas, perkhidmatan rangkaian 5G telah berjaya mencapai 80.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page