Tiada apa-apa arahan diberikan kerajaan bagi menyekat akaun media sosial milik pemimpin pembangkang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat kenyataan itu susulan kontroversi baharu dibangkitkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Sanusi Md Nor yang mendakwa akaun TikToknya disekat kononnya bertujuan menyekat 'kemaraan' populariti beliau.
Tegas SKMM, setiap pengendali media mempunyai garis panduan komuniti sendiri dan pengendali mempunyai hak mereka bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pengguna yang melanggar panduan ditetapkan.
"MCMC mengesahkan tiada sebarang arahan diterima berhubung isu ini.
"Platform-platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti (Community Guidelines) yang menentukan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut, mahupun berdasarkan aduan orang ramai.
"Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti," kata MCMC dalam kenyataan media.
Muhammad Sanusi dalam ceramah di Baling yang tular dilihat cuba menyalahkan kerajaan ekoran sekatan ke atas akaun media sosialnya itu.
Dia menyifatkan tindakan itu sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Ekoran itu sanusi mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial miliknya.
"Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya," kata Muhammad Sanusi dalam video yang tular itu.
Commenti